Saturday, December 27, 2014

Congenital Clubfoot or Congenital Talipes Equino Varus (CTEV), Masalah yang biasa berlaku namun tidak ramai yang tahu.

Kelahiran setiap cahaya mata disambut dengan penuh kegirangan dan kesyukuran. Namun adakalanya ibubapa diuji dengan kecacatan pada bayi yang mereka amat nantikan itu. Antara kecacatan yang mungkin terjadi ialah satu kondisi yang dikenali sebagai Congenital Clubfoot. Bagi pengamal perubatan, istilahCongenital Talipes Equino Varus atau CTEV digunakan. Bayi yang dilahirkan dengan kondisi ini mempunyai kaki berbentuk seumpama hujung batang golf atau ‘club’ yang menjadi asal nama kondisi ini diambil.

Bayi dengan Clubfoot mempunyai kaki yang meninjik ke bawah (equinus), melengkung (varus) dan membengkok ke arah dalam (adducted). Keadaan kaki yang ganjil ini disebabkan oleh abnormaliti pada kedudukan tulang kaki yang membengkok ke arah dalam serta otot, ligament, tendon dan kapsul sendi yang mengecut (contracted) lantas beralih dari kedudukan normal.

Kedua-dua kaki bayi dengan CTEV ini membengkok ke arah dalam. (gambar dari http://orthodoc.aaos.org)


Rakyat Asia Lebih Berisiko Tinggi
Dianggarkan saban tahun seratus ribu bayi lahir dengan kondisi ini di seluruh dunia. Masyarakat Asia lebih berisiko mendapat kondisi ini dengan tiga kes daripada seribu kelahiran berbanding satu dalam seribu kelahiran bagi masyarakat Caucasian. Ia lebih kerap berlaku pada bayi perempuan dan melibatkan kedua-dua kaki dalam 50 peratus daripada kes. Sekiranya salah seorang daripada ibu atau bapa mempunyai kondisi ini, bayi mereka mempunyai risiko 3-4 peratus untuk turun mengalaminya, namun sekiranya kedua-dua ibubapa mempunyai kondisi ini, risiko ini meningkat mendadak kepada 30 peratus!
Beberapa teori yang dikemukakan bagi menerangkan kenapa Clubfoot berlaku termasuk masalah saraf pada otot, abnormaliti pada sel tisu otot dan ligamen, masalah genetik, jangkitan virus dan juga teori kesempitan ruang dalam rahim. Namun, sebab sebenar masih lagi merupakan satu misteri.
Bayi yang tidak dirawat dengan sempurna akan mempunyai kecacatan fizikal yang kekal dan tekanan psikologi daripada masyarakat apabila mereka meningkat dewasa.

Teknik Ponseti
Sebelum tahun 1940 kaki bayi ini perlu dibedah bagi mengembalikannya kembali ke bentuk asal. Namun, hasilnya tidak begitu memberangsangkan. Selepas melakukan kajian dan mengikuti perkembangan pesakit beliau yang dirawat sendiri selama lebih 35 tahun, Dr. Ignacio Ponseti telah memperkenalkan satu kaedah yang dikenali sebagai Ponseti Method yang melibatkan penggunaan simen Plaster of Paris (POP) melalui kaedah membetulkan kaki bayi secara berperingkat (Serial Casting). Kaedah ini telah menunjukkan kejayaan yang menakjubkan!

Rawatan
Rawatan boleh dimulakan seawal minggu kedua kelahiran. Mengikut kajian, hasil yang terbaik dicapai apabila ia dilakukan dalam tempoh 9 bulan pertama kelahiran.
Proses rawatan melibatkan pembetulan 4 abnormaliti berbeza mengikut turutan khusus yang mudah diingat sebagai CAVE iaitu Pembetulan CavusAdductionVarus dan Equinus. Kaki bayi akan dipasang simen bagi membetulkan kaki bayi secara berperingkat. Simen ini akan ditukar setiap minggu sehingga kaki kembali ke bentuk yang normal. Kebiasaaanya 6 minggu diperlukan bagi membetulkan 3 abnormaliti pertama. Bagi membetulkan Equinus (kaki melunjur ke depan seperti meninjik), adakalanya prosedur tenotomy perlu dilakukan,

Tenotomy
Ia adalah prosedur perlu dilakukan bagi melonggarkan sedikit urat keting (tendon Achilles) yang tegang. Di Malaysia, kebiasaannya ia dilakukan secara bius penuh dan sedikit toresan (5mm) akan dibuat pada bahagian belakang urat keting bagi membolehkan kaki dibengkokkan ke bentuk yang normal. Selepas tenotomy, simen akhir akan dipasangkan selama 3 minggu.

Dennis-Brown Shoe dan Bracing
Sebaik sahaja simen terakhir dibuka, kedua-dua kaki bayi akan dipasangkan brace bagi memastikan pembetulan kaki ini kekal sehingga tulang dan otot bayi matang sepenuhnya. Brace ini terdiri daripada sepasang kasut khas yang dikenali sebagai kasut Dennis-Brown dan sebatang bar yang memegang kedua-dua kasut ini. Untuk 3 bulan pertama, ia perlu dipakai selama 24 jam setiap hari. Selepas tempoh ini, tempoh masa dikurangkan kepada 16 jam sehari sehingga kanak-kanak ini berusia antara 3 hingga 4 tahun. Kebiasaannya 12 jam pada waktu malam, dan 2 ke 4 jam pada siang hari. Sememangnya ianya sesuatu yang merenyahkan ibubapa dan dan meresahkan bayi anda. Namun kerjasama dan komitmen padu kedua ibubapa amatlah diperlukan bagi memastikan rawatan ini berjaya. Ia adalah pengorbanan yang berbaloi!

Dr Mahyuddin

Artikel ini telah disiarkan di website Malaysia Medical Gazette pada 24/12/2014 dan juga di Akhbar Berita Harian bertarikh 22/11/2014.

Saturday, December 6, 2014

Masalah anak berjalan mengangkang, Genu Varum atau Bow leg. Kenapa ia berlaku?

Anda mungkin pernah menonton cerita Pendekar Badul di mana Allahyarham Ibrahim Pendek dan Param berjalan seperti kongkang dalam salah satu adegan filem tersebut. Memang menggelikan hati, kan? Atau mungkin anda pernah terserempak dengan kanak-kanak yang berjalan dengan kaki yang mengangkang? Tahukah anda bagaimana ia terjadi?

Ia juga adalah antara punca utama ibu bapa membawa anak mereka berjumpa kami di Klinik Pakar Ortopedik. Ramai ibu bapa yang risau apabila melihat anak mereka yang mula bertatih kelihatan bengkok kakinya. Kebengkokan tulang keting tibia ini hampir menyerupai bentuk busur panah. Oleh sebab itu, ia mendapat nama jolokan ‘bowed-leg’. Dalam bidang perubatan ia dikenali sebagai Genu Varum.

Genu Varum or Bow-leg (Pic source: www.hxbenefit.com)

Punca-punca Bowleg
Terdapat beberapa punca yang menyebabkan tulang tibia menjadi bengkok. Ia termasuk:
  1. Fisiologi
  2. Blount’s Disease
  3. Trauma
  4. Jangkitan kuman (Infection)
  5. Ketumbuhan (Tumour)
  6. Ricket
  7. Skeletal dysplasia, seperti Achondroplasia, osteogenesis imperfecta
  8. Neuromuscular disease, contohnya polio dan spina bifida
2 penyebab utama bowed-leg adalah fisiologi dan Blount’s Disease. 

Fisiologi
Bowed-leg sebenarnya adalah normal bagi bayi dan kanak-kanak yang berusia kurang daripada 2 tahun. Mengikut perkembangan tulang serta sendi manusia, bayi dan kanak-kanak berusia kurang daripada 2 tahun mempunyai kaki yang membengkok ke luar seperti busur. Kebengkokan ini akan melurus sekitar usia 2 tahun dan menyerupai kaki orang dewasa, iaitu membengkok sedikit ke dalam (valgus) menjelang usia 4 tahun.

Blount’s Disease
Blount’s disease adalah satu penyakit di mana tempat pertumbuhan tulang (physis) tulang keting (tibia) berhampiran sendi lutut kanak-kanak menjadi tidak normal yang menyebabkan tulang keting memanjang secara tidak sekata lantas menjadikannya bengkok. Sebab sebenar penyakit ini masih tidak diketahui. Namun, mengikut statistik, ia lebih kerap berlaku kepada kanak-kanak lelaki, terutamanya yang berbadan gempal dan bertatih awal (early walking). Menurut teori, berjalan awal ini boleh menyebabkan kecederaan berulang kepada physis.

Genetik
Terdapat juga kebengkokan yang disebabkan oleh faktor genetik pesakit. Allahyarham Ibrahim Pendek dan Param menghidapAchondroplasia iaitu sejenis penyakit genetik dari kumpulan Bone dysplasia (Dwarfism). Terdapat juga beberapa jenis dysplasia yang lain termasuk Spondylo-Epiphyseal Dysplasia (SED) dan Multiple Epiphyseal Dysplasia (MED).

Kekurangan Zat Kalsium
Kekurangan zat kalsium pada kanak-kanak boleh menyebabkan penyakit Rickets dan menyebabkan tulang membengkok. Zat kalsium amat penting bagi menguatkan tulang dan memperkayakan kawasan pertumbuhan tulang dengan mineral. Kanak-kanak yang kekurangan kalsium akan mempunyai kaki yang bengkok, tulang yang lemah serta ligamen yang longgar.

Kerosakan Physis
Perlu juga diingat, sebarang kerosakan yang berlaku pada bahagian physis ini juga boleh menyebabkan physis menjadi tidak normal dan menyebabkan kebengkokan ini berlaku. Kerosakan ini boleh disebabkan oleh jangkitan kuman, trauma ataupun ketumbuhan tulang seperti Osteochondroma.

Apa yang doktor ingin tahu dari anda?
Sekiranya anda rasa anak anda berjalan dengan cara yang agak pelik, saya nasihatkan anda segera berjumpa dengan dengan doktor bagi mengenalpasti sebarang masalah. Doktor akan memastikan sama ada kebengkokkan ini adalah disebabkan oleh proses pembesaran yang normal (physiological) ataupun terdapat sebarang masalah perubatan yang perlu ditangani dengan segera.

Doktor akan bertanya beberapa soalan sebelum melakukan pemeriksaan ke atas anda atau anak anda. Soalan-soalan ini adalah perlu bagi membuat diagnosis yang tepat serta memansuhkan diagnosis yang lain seperti yang telah saya ceritakan di atas. Antara soalan yang akan ditanya ialah sejarah perubatan pesakit, kemalangan yang lalu, sejarah penyakit dalam keluarga serta sejarah kelahiran dan pembesaran anak anda.

Perlukah anak anda menjalani imbasan x-ray?
X-ray sebenarnya tidak perlu dilakukan ke atas setiap pesakit. Anda perlu tahu bahawa x-ray mempunyai radiasi yang tidak baik bagi kesihatan badan manusia.
Antara contoh kes yang memerlukan pemeriksaan x-ray adalah seperti berikut:
  1. Kebengkokkan hanya pada sebelah kaki
  2. Kebengkokkan tidak simetri pada kedua-dua belah kaki
  3. Kanak-kanak berusia melebihi 3 tahun
  4. Pesakit mempunyai sejarah penyakit tulang dalam keluarga (bone dysplasia, Ricket dan sebagainya)
  5. Pesakit pendek atau Dwarfism (bone dysplasia atau masalah endokrin)
X-ray dilakukan bagi mengira darjah kebengkokan yang berlaku pada bahagian tulang tibia anda. Ia menentukan rawatan yang akan diberikan kepada anda nanti.

Rawatan
Rawatan bagi bowed-leg bergantung kepada diagnosis yang menjadi penyebab kepada masalah ini. Masalah fisiologi bagi kanak-kanak berusia kurang daripada 2 tahun biasanya tidak memerlukan sebarang rawatan. Kami akan memberi temujanji susulan bagi melihat perkembangan kebengkokan tersebut.
Bagi Blount’s Disease, ia terbahagi kepada beberapa tahap yang akan menentukan sama ada pembedahan perlu dilakukan atau pesakit hanya perlu memakai alat sokongan (brace) bagi membetulkan kebengkokan tersebut. Umur pesakit juga memainkan peranan. Pesakit yang datang awal untuk mendapatkan rawatan dengan tahap kebengkokkan yang minimum biasanya boleh dirawat tanpa pembedahan.

Pembedahan, sekiranya perlu, bergantung kepada jenis penyakit, umur serta darjah kebengkokan kaki pesakit. Ia melibatkan penggunaan staple bagi menyeimbangkan pertumbuhan tulang di kawasan physis. Bagi pesakit yang telah dewasa di mana tiada lagi pertumbuhan tulang yang boleh berlaku, pembedahan yang lebih besar mungkin perlu dilakukan bagi membetulkan kebengkokan ini.
Sekiranya anda atau anak anda mempunyai kaki yang bengkok, saya nasihatkan anda segera berjumpa Pakar Ortopedik yang berhampiran. Kelewatan boleh menyebabkan komplikasi pada ligamen dan sendi lutut pesakit.

Artikel ini telah disiarkan di dalam Online Portal, Malaysian Medical Gazette pada 3/12/2014 dan juga diterbitkan di dalam akhbar Berita Harian, bertarikh 6/12/2014.

Rujukan
  • Postgraduate Orthopaedics. Paul A. Banaszkiewicz. p394
  • Review of Orthopaedics, 5th Mark D. Miller. P234

Monday, November 24, 2014

SURAU HOSPITAL SULTAN HAJI AHMAD SHAH (HOSHAS) TEMERLOH, PAHANG

Assalamualaikum sahabat semua,

Lama betul update blog. Agak occupied dengan kerja dan aktiviti-aktiviti sampingan terutamanya menghasilkan artikel kesihatan untuk website Malaysian Medical Gazette (www.mmgazette.com). Nanti kalau sahabat sekalian ada peluang, boleh la berkunjung ke sana yer. Banyak info-info kesihatan yang sahih, dihasilkan oleh pegawai yang bertauliah.

Kali ni, saya nak berkongsi peluang sebenarnya ni. Peluang di depan mata, yang hasilnya telah pasti akan kita sama-sama lihat nanti. Peluang pelaburan, bukan untuk dunia, tapi untuk pelaburan abadi, di akhirat sana nanti.

Baru-baru ni saya telah menghadiri majlis pelancaran Dana Projek Pembinaan Surau Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS). Projek ni telah pun mendapat kelulusan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) – No. rujukan Bil. (11) dlm. M.U.I.P.PHG: 100/101/25 JLD.10. Surau ini dibina di hadapan lobi utama hospital, dengan senibina yang canggih, dengan segala kemudahan dan keselesaan buat pengunjung. Ruang solat buat Muslimin dan Muslimat disediakan. Kos pembinaan dijangka mencecah RM600 ribu.

Sebelum ini, kakitangan dan pelawat menunaikan solat di beberapa surau kecil yang terdapat pada setiap aras hospital. Pihak pengurusan dan kakitangan hospital merasakan ada keperluan bagi membina surau yang berpusat dimana solat berjemaah dapat ditunaikan bersama-sama. Pengarah Hospital HOSHAS, Dato' Dr. Haji Bahari bin Dato' Tok Muda Awang Ngah amat proaktif dan memberi sokongan sepenuhnya bagi merealisasikan hasrat ini. Inisiatif awal ialah dengan mewujudkan surau sementara sementara Surau kekal yang lebih besar dan selesa buat kegunaan semua dapat dibina. Ia juga dapat menjadi medan dakwah bagi meninggikan syiar Islam di Negeri Pahang Darul Makmur ini.

Surau baru HOSHAS ini akan memudahkan kakitangan hospital HOSHAS, pelawat dan pesakit menunaikan solat secara berjemaah dengan selesa. Setiap manusia yang duduk beriktikaf, solat, mengaji dan melakukan sebarang amal kebajikan, akan mengalirkan pahala buat kita kita alam kubur.

Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA mengatakan, RasululLah SAW bersabda, mafhumnya “Apabila meti seseorang anak Adam, putuslah segala amalannya kecuali 3 perkara; (1) Sedekah jariah (2) Ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan (3) Doa anak yang soleh.

Umur ummat Muhammad SAW amat pendek. Rata-rata manusia sekrang meninggal dalam usia antara 60 hingga 70 tahun. Tidak ramai yang melepasi umur 80 atau 90 tahun. Sama ada kita menyumbang atau tidak, projek ini tetap akan berjalan, dilaksanakan dan disiapkan InsyaAllah. Peluang di depan mata, keputusan di tangan anda.

Sekiranya anda ingin sama-sama berkongsi kebajikan ini, bolehlah memberi sumbangan ke Tabung Dana Surau HOSHAS: Akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 06028010061299 KESUKES TEMERLOH (AKAUN SURAU).

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebiji benih yang menumbuhkan tangkai, setiap tangkai mengandungi seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya lagi Maha Mengetahui (Al-Baqarah 2:261)

Sumbangan boleh juga disalurkan melalui:

11. Tabung sumbangan yang disediakan (diletakkan di Kafe Hospital Sultan Haji Ahmad Shah)
22. Terus ke pejabat KESUKES (Kelab Kebajikan dan Sukan Jabatan Kesihatan Daerah Temerloh)
33. Melalui akaun bank yang dinyatakan di atas


Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Ahli Jawatankuasa Pembinaan Surau, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh, d/a Pejabat KESUKES (Kelab Kebajikan dan Sukan Jabatan Kesihatan Daerah Temerloh), No telefon 09-2955333 / 010-3425781, No. fax: 09-2972468 / 09-2971394 atau hubungi wakil jawatankuasa Surau HOSHAS, Encik Azhar di talian 013-9306040.

Ustaz Haji Mohd Asri bin Awang, Pengurus Pusat Zakat Pahang menyampaikan Tazkirah mengenai kelebihan bersedekah dengan ceramah bertajuk, "Bergembiralah Orang Yang Memberi"

Majlis Pelancaran Tabung Dana Surau HOSHAS pada 14 November 2014
Pegawai MUIP (tengah) diiringi oleh Pengarah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Dato' Dr. Haji Bahari bin Dato' Tok Muda Awang Ngah (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Surau HOSHAS, Dr. Haji Muhammad Yusuf Aziz (kiri) merasmikan majlis pelancaran


Ruang solat surau sementara HOSHAS

Bahagian luar surau sementara HOSHAS bersebelahan lobi hospital



Marilah kita sama-sama merebut peluang ini. Biar sedikit pun jumlah yang disedekahkan tidak mengapa. Yang penting kita ikhlas kerana Allah swt. Kita berebut untuk tambah harta di akhirat kelak. Tidak akan berkurang harta atau menjadi fakir dengan sebab bersedekah. Harta yang kita ada di dunia ni akan semakin bertambah kerana ia akan menjadi suci dan penuh barakah. Allah akan membuka jalan bagi kita menambah harta, peluang dan rezeki, Aamiin.

Friday, October 24, 2014

Harga Sepasang Kasut


Hari ini hati berbunga-bunga. Betapa seronoknya hati apabila melihat betapa bermurah-hatinya setiap pegawai perubatan (MO) dan pegawai perubatan siswazah (HO) di Jabatan Ortopedik HOSHAS menderma bagi membeli sepasang kasut istimewa. Kasut ini dikenali sebagai Dennis Brown (DB) Shoe yang digunakan khusus bagi kanak-kanak yang menghidap CTEV (Congenital Talipes Equino Varus).

Ia bukannya murah kawan-kawan. Mungkin bagi sebahagian daripada kita RM350 adalah jumlah yang kecil, namun bagi ibubapa pesakit kami ini, ia adalah jumlah yang teramat besar. Tiada wang simpanan. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

"Saya nak kena balik menoreh dulu...."Hancur luluh hati kami mendengar kata-kata yang keluar dari mulut si bapa apabila kami mengatakan kasut ini amat penting bagi membetulkan kaki anaknya yang bengkok.

Melihatkan senyuman yang terukit pada wajah Sang Bapa dan anaknya adalah perasaan yang tidak dapat ku gambarkan. Kepuasan.

Tahniah buat anak-anak didik ku terutamanya Dr. Aizat Ijat Azfar. Tahniah atas kemurah hati dan juga tahniah atas keprihatinan kalian. Semoga Allah membalas dengan ganjaran belipat kali ganda, aamiin. We are creating a better world for everybody insyaALlah.


Gambar: Dennis Brown Shoe (https://www.healthstorecy.com)

Monday, October 20, 2014

Kepatahan Tulang Lengan Kanak-Kanak

Cuti Sekolah dan Patah Tulang Lengan 

Artikel ini telah disiarkan pada online health website - Malaysian Medical Gazette (http://www.mmgazette.com/patah-tulang-lengan-dr-ahmad-mahyuddin) bertarikh 5/09/2014 dan juga telah disiarkan dalam Akhbar Berita Harian bertarikh 20/09/2014

Musim cuti sekolah sudah hampir tiba lagi. Bagi kami di Jabatan Ortopedik, musim cuti ini memberi makna yang tersendiri. Saban tahun, pada musim inilah Wad Ortopedik akan dipenuhi dengan pesakit kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital akibat kepatahan tulang lengan atau lebih dikenali sebagai Supracondylar Humerus Fracture.

Situasi ini selalunya terjadi apabila kanak-kanak terjatuh semasa sedang asyik bermain, lebih-lebih lagi semasa memanjat ‘monkey-bar’ di taman permainan atau pokok yang tinggi di kawasan perkarangan rumah. Biasanya kanak-kanak ini jatuh dengan keadaan siku mereka lurus ke hadapan sambil bahagian tapak tangan menekan ke tanah, untuk mengelakkan bahagian muka atau kepala daripada tercedera. Mekanisma jatuh tersebut dikenali sebagai Fall On Out-Stretched Hand dalam bahasa Inggeris dengan akronimnya, FOOSH.

Ini akan menyebabkan kepatahan tulang lengan pada bahagian atas siku mereka. Mereka biasanya datang ke unit kecemasan dalam keadaan kesakitan, siku yang bengkak dan kadangkala bengkok akibat trauma yang dialami. Dalam kes-kes yang serius, kepatahan ini boleh menyebabkan kecederaan pada saraf di bahagian lengan iaitu Median dan Ulnar Nerve, atau menekan salur darah utama, brachial artery yang boleh menyebabkan tangan pesakit mati atau gangrene.

Sekiranya kanak-kanak ini terjatuh dan mengadu rasa sakit pada bahagian siku mereka, atau siku mereka kelihatan bengkak dan bengkok, segeralah bawa mereka ke hospital bagi pemeriksaan lanjut. Ini adalah penting untuk memastikan kepatahan ini tidak berlaku.

Tahap Kepatahan
Secara asasnya Supracondylarfracture of Humerus ini boleh dibahagikan kepada tiga tahap:
  1. Tahap Pertama – Kepatahan berlaku namun tidak beralih (undisplaced fracture)
  2. Tahap Kedua – Kepatahan berlaku namun sebahagian daripada tulang lengan itu (posterior cortex) tidak patah sepenuhnya
  3. Tahap Ketiga – Kepatahan berlaku dan beralih sepenuhnya (completely displaced fracture)

Kepatahan tulang lengan kanak-kanak ini pada bahagian atas siku kiri

Xray pada pandangan sisi (lateral view) di mana bahagian tulang yang patah tidak begitu jelas kelihatan.


Rawatan
Rawatan bagi kanak-kanak ini bergantung kepada tahap kepatahan yang mereka alami.
Langkah pertama rawatan bermula dengan, kemasukan ke Wad Ortopedik bagi proses pemerhatian kecederaan; terutama sekali pada bahagian salur darah dan saraf lengan yang terlibat. Langkah ini penting untuk memastikan kanak-kanak tersebut tidak terus menggerakkan bahagian yang patah bagi mengelakkan tulang dibahagian tersebut daripada terus beralih. Selain itu, peredaran darah(blood circulation) akan direkodkan berserta dengan kepekatan gas oksigen (Oxygen saturation) di hujung jari-jari tangan yang terlibat. Untuk mengurangkan bengkak di bahagian lengan yang patah, kami akan meninggikan aras tangan mereka semasa berehat (elevation)dan tuam menggunakan ais.
Seterusnya, lengan anak anda akan dipasangkan dengan backslab, sejenis simen yang dinamakan Plaster of Paris, bagi mengelakkan kepatahan itu daripada beralih. Sekiranya ia beralih, kami mungkin akan memasang alat yang dipanggil traction bagi mengurangkan kebengkokan dan kesakitan anak anda.

Bagi rawatan kepatahan tahap pertama, pemasangan simen dari bahagian atas siku sehingga bahagian tangan adalah memadai. Tiada pembedahan diperlukan. Xray akan diambil selepas pemasangan simen bagi memastikan kepatahan tidak beralih.

Manakala untuk kepatahan peringkat kedua dan ketiga, prosedur tarikan atau Closed Manipulative Reduction (CMR) akan dilaksanakan. Sekiranya gagal, prosedur ini akan dilakukan di dewan bedah dengan menggunakan kamera khas yang dikenali sebagai Image Intensifieratau I/I. Kepatahan pada lengan anak anda akan dibetulkan ke kedudukan asal dan dipegang dengan menggunakan wayar stainlesssteel. Kedudukan tulang ini kemudiannya diperiksa semula dengan menggunakan mesin I/I selepas wayar stainless steel diletakkan.

Ia memerlukan teknik tarikan yang tertentu bagi memastikan tulang lengan anak anda berada dalam kedudukan tepat seperti mana sebelumnya. Sekiranya gagal dibetulkan dengan kaedah tarikan, barulah pembedahan akan dilakukan. Anak anda akan diberikan ubat bius penuh sepanjang prosedur tersebut.

Proses Pemulihan
Pesakit biasanya akan dibenarkan pulang dua hari selepas prosedur atau pembedahan dilakukan. X-ray akan dilakukan bagi memastikan kepatahan dan wayar berada ditempat yang betul. Wayar ini kemudiannya akan ditarik keluar selepas tiga minggu, dimana pada ketika itu, tulang-tulang baru atau soft callus telah mula terbentuk dan kepatahan sudah mula bercantum. Adalah amat penting bagi ibubapa untuk menggalakkan anak mereka melakukan fisioterapi untuk mendapatkan kembali pergerakan sendi siku yang normal. Kepatahan ini akan sembuh sepenuhnya dalam masa enam hingga lapan minggu.

Peringatan ikhlas dari saya, datanglah segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi kes-kes kepatahan seperti ini. Lupakanlah niat anda untuk berjumpa bomoh atau mendapatkan rawatan tradisional kerana ketidaktepatan dalam merawat kepatahan tulang ini akan menimbulkan masalah yang besar dikemudian hari. Anak anda akan datang dengan siku yang bengkok seperti selaras senapang, keadaan yang kami panggil ‘gun stock deformity’. Ini boleh terjadi sekiranya kepatahan Supracondylar humerus tidak ditarik dengan betul dan bercantum dengan tidak tepat. Sekiranya ini terjadi, kami perlu melakukan pembedahan besar, dengan cara mematahkan kembali tulang yang telah bengkok tersebut untuk membetulkan kembali kedudukan tulang ke kedudukan asalnya. Pergerakan siku serta percatuman kembali tulang daripada hasil pembedahan ini tidaklah setanding dengan hasil rawatan sekiranya ia diberikan perhatian yang lebih awal.


Dr. Mahyuddin

Rujukan
  1. Reza Omid, Paul D. Choi and David L. Skaggs. Supracondylar Humeral fracture in Children. J Bone Joint Surg Am. 2008;90:1121-1132.
  2. Mininder S. Kocher, James R. Kasser, Peter M. Waters, Donald Bae, Brian D. Snyder, M. Timothy Hresko, Daniel Hedequist, Lawrence Karlin, Young-Jo Kim, Martha M. Murray, Michael B. Millis, John B. Emans, Laura Dichtel, Travis Matheney and Ben M. Lee. Lateral Entry Compared with Medial and Lateral Entry Pin Fixation for Completely Displaced Supracondylar Humeral Fractures in Children. A Randomized Clinical Trial. J Bone Joint Surg Am. 2007;89:706-712

Sunday, August 10, 2014

Mercun dan Monyet

Fakta menarik di Temerloh.

Sehingga sekarang, terdapat 6 kes kecederaan akibat bermain mercun yang telah dimasukkan ke wad aku. Daripada 6 kes ini, 4 dimasukkan semasa bulan Ramadhan yang lepas. yang ironinya, hanya 2 kes ni adalah kanak2, bakinya adalah pesakit dewasa berusia 30 tahun ke atas. (tak puas main mercun agaknya...aiseh)

Bagi 2 kes lagi berlaku diluar bulan Ramadhan. Kedua2 kes ini adalah akibat kecederaan tangan akibat mercun meletup sebelum pesakit sempat melemparnya. Kedua-dua pesakit ni menggunakan mercun bagi menghalau MONYET.

Habis hancur tangan. Jari yang terkorban pun ada, Rasanya, ada cara yang lebih efektif bagi menghalau monyet2 ni daripada melemparkan mercun.

Lempar mercun, monyet LARI, tangan pun PERGI.

Tuesday, August 5, 2014

Diabetic Foot - Kaki Anda Perlu Dipotong!!

Artikel ini telah disiarkan di Malaysian Medical Gazette. Anda boleh dapatkan pelbagai info perubatan melalui laman sesawang ini. Sila klik di sini.

*****************************************************************************************************************************
Masalah kaki bernanah atau berulat adalah amat biasa terjadi di kalangan pesakit kencing manis di negara kita. Keadaan ini bertambah kronik lagi dengan kecenderungan masyarakat kita yang lebih suka mencuba rawatan tradisional dan herbal. Ramai yang menjadikan rawatan hospital sebagai ‘last resort’ atau pilihan terakhir mereka.

Anggapan mereka, sekiranya ke hospital, kaki mereka pasti dipotong. Apa yang mereka tidak sedar adalah kelewatan mereka ke hospital itulah yang mengakibatkan doktor tiada pilihan lain. Pada kami, nyawa adalah lebih penting daripada kaki. ‘Life Before Limb’, itulah prinsip kami.

Kebanyakan pesakit pergi ke hospital apabila kaki mereka telah membusuk ke tahap tidak dapat diselamatkan lagi. Malah, ada yang datang dengan ‘Sepsis’ dimana, kuman telah pun merebak ke dalam sistem peredaran darah dan boleh merosakkan organ dalaman pesakit. Sekiranya tempat asal kuman ini tidak dibuang, maka pesakit mungkin tidak dapat diselamatkan walaupun antibiotik diberi.
Pesakit kencing manis mudah mendapat masalah jangkitan ini akibat tiga keadaan pesakit kencing manis iaitu:
  1. Neuropathy – Ia adalah keadaan dimana terdapat kerosakan pada sistem saraf pesakit. Ia boleh dibahagikan lagi kepada tiga iaitu ‘sensory’, ‘motor’ dan ‘autonomic’
  2. Vasculopathy Vasculopathy pula merujuk kepada keadaan tidak normal pada system salur darah pesakit kencing manis. Sistem peredaran darah pesakit ini biasanya kurang baik akibat tersumbat yang menyebabkan kekurangan bekalan oksigen serta nutrien.
  3. Immunopathy - Immunopathy adalah keadaan di mana pesakit kencing manis ini lebih mudah terdedah kepada jangkitan  kuman akibat kelemahan sistem pertahanan badan mereka.

Kaki pesakit kencing manis ini biasanya kebas. Mereka tidak akan terasa walaupun mereka terpijak paku atau berjalan di atas permukaan yang panas. Saya pernah mendapat pesakit yang melecur kakinya akibat daripada bertungku. Mengalami luka pada kaki adalah perkara pertama yang akan membawa kepada lebih banyak masalah.

Sekiranya anda mempunyai saudara yang mempunyai penyakit kencing manis, nasihatkan mereka untuk segera berjumpa doktor sekiranya kaki mereka terluka. Tisu yang busuk atau dijangkiti kuman perlu dicuci dan tisu yang mati perlu dibuang. Kelewatan rawatan boleh menyebabkan kehilangan kaki, atau lebih teruk lagi, kehilangan nyawa mereka!
Langkah-langkah awal boleh diambil bagi mengelakkan masalah luka ini daripada berlaku. Antara nasihat yang boleh diberikan ialah:
  1. Sentiasa memastikan kaki tidak terlalu kering. Kaki yang kering boleh merekah dan luka. Pesakit boleh menggunakan minyak bayi atau minyak zaitun bagi melembabkan kulit.
  2. Kaki perlu dilap apabila keluar daripada bilik air atau tandas. Kaki yang basah, terutamanya di celah-celah jari, memudahkan jangkitan kulat (fungus)
  3. Pesakit perlu memeriksa stoking dan kasut sebelum memakai mereka bagi memastikan tiada batu, kayu atau benda-benda tajam di dalamnya.
  4. Sentiasa memakai kasut yang sesuai sekiranya berjalan. Elakkan selipar atau sandal yang mendedahkan jari kerana ia lebih mudah terluka.
  5. Sentiasa memeriksa kaki sebelum tidur, dengan menggunakan cermin bagi melihat kawasan-kawasan yang sukar dilihat. Pemeriksaan kaki sendiri ini seeloknya dibuat dua kali sehari.
Pesakit kencing manis yang mempunyai luka atau ulser di kaki mempunyai 15 peratus risiko untuk menghadapi amputasi atau dipotong kaki mereka akibat kaki yang membusuk, bernanah dan mati (gangrene).

Marilah kita sama-sama menasihati kenalan kita mengenai kepentingan menjaga kaki dan mengawal paras gula dalam darah.  Lebih baik lagi ialah mengelakkan diri dan kenalan kita daripada menghidap kencing manis.

Sunday, August 3, 2014

Torticollis: Apa yang menyebabkan kepala teleng?


Artikel ini telah di siarkan di website www.mmgazette.com pada Bulan Julai 2014. Sila klik sini utk baca lebih lanjut pelbagai info kesihatan di website ini.

Seorang kanak-kanak perempuan memandang tepat ke wajahku. Tiada senyuman di bibirnya. Kepala kanak-kanak ini terteleng ke kiri. Keadaan yang dikenali di kalangan pengamal perubatan sebagai Torticollis.


“Adik, boleh adik cuba pandang ke kiri? Sekarang, ke kanan?” Aku cuba menggerakkan kepada anak kecil berusia 7 tahun itu namun gagal. Pemeriksaan pada bahagian leher beliau menunjukkan tiada tanda kesakitan apabila tulang tengkuk beliau ditekan. Namun, otot leher beliau berada dalam keadaan spasm atau kekejangan.


“Anak Encik pernah terjatuh atau tercedera pada bahagian tengkuk sebelum kepala menjadi teleng?” Aku perlu pastikan Torticollis ini tidak disebabkan oleh kepatahan tulang atau sendi tengkuk kanak-kanak ini terseliuh. “Tak pernah.” Ringkas jawapan yang diberi oleh bapa kanak-kanak ini.

“Dia ada tak demam dalam seminggu atau 2 minggu yang lepas?” Soalan terpacul keluar dari mulutku. Fikiranku memikirkan satu diagnosis yang paling jarang, namun boleh terjadi – ‘Grisel’s syndrome’.

“Oh, ada doktor. Dia baru aje baik demam 2 minggu lepas, dia dapat tonsil. Doktor klinik swasta bagi antibiotik dan lepas tu dia sembuh. 3 hari lepas tu, kepala dia jadi teleng, doktor”. Panjang lebar ayahnya bercerita.


Aku memberi diagnosis Grisel’s Syndrome kepada kanak-kanak ini. Beliau dimasukkan ke wad bagi melakukan Halter traction di mana kepala beliau akan ditarik secara berhati-hati, perlahan-lahan dan sekata bagi membolehkan ketelengan tengkuk beliau dibetulkan kembali. Adik ini sembuh selepas seminggu di dalam wad.


Torticollis boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Secara amnya, ia terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu Congenital (Torticollis dikesan sejak kelahiran) atau Acquired (Torticollis disebabkan oleh punca-punca lain).



Congenital Torticollis

Ia berlaku dalam 0.3 hingga 2 peratus kelahiran. Punca sebenar Torticollis yang terjadi sejak lahir ini masih belum diketahui. Teori mencadangkan kecederaan semasa proses kelahiran atau kedudukan bayi semasa dalam kandungan mungkin menyebabkan ia berlaku.

  • Congenital Muscular Torticollis
  • Grisel’s Syndrome (akibat jangkitan kuman pada telinga atau tekak).
  • Kecederaan pada tulang atau sendi tulang tengkuk.
  • Kecederaan kepada otot tengkuk (Sternocleidomastoid).
  • Ketumbuhan pada otot Sternocleidomastoid.
  • Kecederaan pada saraf Sternocleidomastoid.
  • Kecederaan kepada bekalan darah otot Sternocleidomastoid.
  • Kebengkakan pada kelenjar limfa (lymph nodes).
  • Barah otak (Posterior Fossa Tumour atau base of skull tumour).
  • Sesetengah ubat seperti antipsychotics dan phenothiazines.

Acquired Torticollis (Torticollis sekunder)
Kebiasaannya pesakit akan datang dengan kepala yang teleng ke arah otot yang kekejangan. Pergerakan tengkuk adalah terbatas. Sekiranya berlanjutan, ia boleh menyebabkan sakit tengkuk dan kepala.

Rawatan bagi setiap masalah Torticollis ini adalah bergantung kepada diagnosis yang diberi. Majoriti kondisi ini hanya perlu menjalanitraction dan fisioterapi. Namun, pembedahan mungkin perlu dijalankan sekiranya rawatan ini tidak berjaya. Anda dinasihatkan segera berjumpa doktor sekiranya ia berlaku kepada ahli keluarga anda.



Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahyuddin, seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan
  1. Orthopaedic Secrets, 3rd Edition. David E. Brown, Randall D. Newmann
  2. Cheng, JC; Wong, MW; Tang, SP; Chen, TM; Shum, SL; Wong, EM (2001). “Clinical determinants of the outcome of manual stretching in the treatment of congenital muscular torticollis in infants. A prospective study of eight hundred and twenty-one cases”. The Journal of bone and joint surgery. American volume 83–A (5): 679–87.

Monday, July 28, 2014

Kosongkan Laluan Kecemasan di Lebuhraya!

Assalamualaikum Rakyat Malaysia yg cerdik pandai. 

Anda tahu apa gunanya lorong kecemasan? Pastinya anda tahu. Ia hanya dikhaskan utk kegunaan Ambulan, Polis, BOMBA dan jabatan kecemasan yg lain, pada waktu kecemasan SAHAJA. 

Ramai benar yg memandu ikut lorong kecemasan. Seolah-olah tak peraturan jalanraya. Semua org nak cepat, takde org yg nak lambat sampai ke kampung halaman masing2. 

Hampir sebulan kita berpuasa. Ramadan Kali ni nampak nya gagal mengajar anda erti Kesabaran. Anda adalah seorang yang TIDAK SABAR. PUASA ANDA JUGA TIDAK BERKUALITI. 

Tidak kira anda seorang doktor, Jurutera, arkitek, ahli politik, guru, Jutawan, atau kontraktor kelas A sekali pun, kalau mentaliti mcm ni, anda adalah seorang yg GAGAL

Anda terasa? Bagus. Mmg patut pun. 

Sebagai seorang doktor, saya tahu kepentingan setiap saat dlm memberi rawatan kecemasan kepada pesakit. Satu saat membezakan hidup atau matinya seseorang pesakit. 

ALLAH MAHA ADIL. 


Satu hari nanti, Ambulan yg tersangkut di jalanraya itu ialah Ambulan yg sedang membawa isteri, ibubapa atau anak anda ke hospital. Atau pesakit itu mungkin diri anda sendiri. 

Apabila org yg anda kasihi meninggal apabila tiba di hospital, saya hanya akan berkata:

"Maaf tuan, kami telah cuba sedaya upaya kami, namun kelewatan tiba di hospital menyebabkan rawatan yg kami beri gagal menyelamatkan beliau. Allah lebih menyayangi beliau". 

Dan kelewatan ini disebabkan oleh manusia2 seperti ANDA, yang memandu di lorong kecemasan. 

TOLONG KOSONGKAN LORONG KECEMASAN!

1 Syawal 1325H
28/07/2014, 12:15 pagi

Monday, May 12, 2014

Tragedi Hari Ibu 2014


Hari ini, Ahad, 11 Mei 2014, ramai yang menyambut Hari Ibu. Namun bagi seorang pesakit saya, ia akan menjadi hari yang akan menjadi igauan sehingga akhir hayat.


Pesakit saya ini, Zila (bukan nama sebenar), baru berusia 13 tahun. Pagi tadi Zila menunggang motosikalnya di Bentong. Ibu Zila membonceng di belakang motosikal mereka.


Ini bukan kali pertama Zila menunggang motosikal. Malah dia sudah menunggang sejak berusia 8 tahun lagi. Semua budak di kampungnya pun begitu. Semuanya menunggang motosikal. Tiada yang pelik. Lesen memang tiada. Helmet memang tidak pernah dipakai. "Rimas" katanya. "Lagi pun bukannya nak pergi jauh pun, setakat bawak dalam kampung aje..."


Kadang-kadang ibu menyuruh Zila ke kedai runcit Ah Meng di belakang rumah untuk beli beras, gula atau susu pekat manis. Kadangkala Ayah mintak Zila belikan rokok sebungkus. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, Zila memang tak akan lepaskan peluang bawak motorsikal SYM ayahnya tu.
Kadang-kala Zila berselisih dengan kawan sekelas, Aidil dan Rayyan. Masing-masing tunggang motosikal ayah masing-masing. Tiada helmet. Melihat kepada rupa mereka, memang penuh dengan ekpresi rasa bangga menunggang motosikal pada usia remaja.


Hari ni Zila dan ibu nak ke kedai makan di tepi Dataran Bentong kerana mahu belikan makan pagi untuk mereka sekeluarga. Ibu hanya berkain batik lusuh. Zila pula berseluar sukan. Mereka bergerak dari rumah menghala ke Bandar Bentong. Tiba di depan masjid, mereka berhenti bagi melintas jalan.
Setelah memastikan tiada kereta, Zila memecut melintas jalan menghala ke lorong di tepi Dataran Bentong. "Zila...berhenti!!!!" Kedengaran sayup suara Ibunya menjerit.


Belum sempat Zila menoleh, mereka berdua terhumban kehadapan. Tergolek jatuh dari motosikal. Zila tercampak ke dalam longkang. Ibunya terhempas ke jalanraya. Zila sempat melihat darah merah mengalir dari kepala ibunya sebelum dia sendiri tidak sedarkan diri.


Beberapa pemuda yang berada di situ bergegas mendapatkan mereka. Zila dibawa ke Hospital Bentong. Tulang betis kanannya patah akibat hentakan kuat pada longkang.


Di hospital Zila mendapat tahu yang ibunya meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepalanya. "Ibuuuuu!!!!" Ibunya tiada lagi di dunia ini.


Zila dibawa ke Hospital Temerloh bagi rawatan lanjut. Setelah disiasat, punca kemalangan tersebut adalah disebabkan kain batik ibunya tersepit ditayar belakang motosikal mereka lalu menyebabkan motosikal mereka tersangkut dan jatuh. Begitu sadis.


Aku benarkan Zila pulang bagi menghadiri dan menguruskan pengurusan ijazah ibunya. Kakinya bersemen. Bagi melihat ibunya buat kali terakhir. Tiada lagi ibu yang akan membonceng motosikalnya.


Sama-sama kita mengambil pengajaran. Usah benarkan anak-anak kita menunggang motosikal. Malang tidak berbau.


Semoga Zila cepat sembuh. Semoga ibunya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman, aamiin. Inna lilLah wa inna ilaihi raajiuun.


*Ini adalah cerita benar yang telah saya olah semula*

x

Friday, January 3, 2014

Lagi Kematian Kanak-kanak Akibat Kepanasan Melampau

Assalamualaikum,

Kita dikejutkan lagi dengan kematian seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun pada hari pertama persekolahan semalam (Khamis, 2/01/2014) di Kuantan, Pahang. Hari yang sepatutnya ceria bertukar pilu. Besar sungguh dugaan buat seluruh ahli keluarga. Kita ucapkan takziah buat keluarga mangsa. Semoga mereka kuat dan sabar menghadapinya. Pastinya Allahyarham ditempatkan di Syurga, aamiin.

Mangsa dikatakan meninggal dunia setelah ditinggalkan selama hampir 9 jam di tempat duduk belakang kenderaan MPV keluarga tersebut. Bapa mangsa sepatutnya menghantar mangsa ke taska, namun beliau lupa berbuat demikian. Untuk cerita lanjut baca di sini.

Saya pernah menulis mengenai isu ini pada tahun lalu berikutan kematian seorang kanak-kanak di dalam kereta ibu mangsa. Ironinya, mangsa juga berusia 3 tahun. Kedua-dua kanak-kanak ini meninggal akibat komplikasi kepanasan melampau, atau Heat Stroke.

Ajal maut di tangan Tuhan. Namun, kita sebagai hambanya wajib berikhtiar. Di sini saya 'copy and paste' penulisan saya pada Julai 2013. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar dan melakukan langkah sewajarnya bagi mengelakkan perkara ini berulang.

************************************************************************

Malaysia digemparkan dengan kematian seorang kanak-kanak berusia 3 tahun semalam. Kanak-kanak malang tersebut terperangkap di dalam kereta ibunya yang juga seorang guru yang bergegas ke mesyuarat di sekolah beliau petang semalam, meninggalkan mangsa yang sedang tidur di kerusi belakang kereta. Ketika dijumpai 5 jam kemudian, kanak-kanak malang tersebut telah pun meninggal dunia. Takziah buat keluarga mangsa. Al-Faatihah.

Apa yang saya nak kongsikan di sini ialah apa yang mungkin menyebabkan kematian kanak-kanak tersebut berlaku dan langkah-langkah yang boleh kita ambil bagi mengelakkan ia terjadi kepada kita atau keluarga kita.

Kajian menunjukkan bahawa suhu dalam kereta akan meningkat secara mendadak apabila kereta dibiarkan di bawah panas matahari. Ia boleh meningkat antara 10 ke 20 darjah dalam masa 20 minit sahaja. Keadaan ini akan menyebabkan kepanasan melampau kepada bayi atau kanak-kanak yang terperangkap di dalam kereta. Suhu dalaman (core temperature) badan akan meningkat secara mendadak sehingga 41 darjah celsius.

Berikut kenaikan suhu dalam kereta yang berlaku:
•    10 minutes ~ 19 deg F (Farenheit)
•    20 minutes ~ 29 deg F
•    30 minutes ~ 34 deg F
•    60 minutes ~ 43 deg F
•    1 to 2 hours ~ 45-50 deg F
Sumber: http://www.ggweather.com/heat/

Kepanasan ini akan menyebabkan proses perpeluhan berlaku (proses ‘normal regulation’ bagi menyejukkan badan kita) yang seterusnya menyebabkan kekurangan air dalam badan (dehydration), sawan, kekeliruan (confusion), kerosakan otak dan organ dalam badan dan seterusnya kematian. Ia dikenali sebagai ‘HEAT STROKE’. 

Kematian juga boleh disebabkan oleh lemas (suffocation) kerana kekurangan udara (oksigen) akibat tingkap ditutup rapat. Membuka tingkap sekadar beberapa inci atau membiarkan penghawa dingin (aircond) dalam keadaan hidup juga tidak dapat memastikan keadaan ini tidak berlaku.

Heat Stroke berlaku di seluruh dunia. Data dari Amerika Syarikat menunjukkan 33 kes kematian pada tahun 2012 dan 22 kes pada tahun 2013 (setakat ini). Sejak tahun 1998 terdapat 583 kematian akibat Heat Stroke bagi kanak-kanak atau bayi yang ditinggalkan di dalam kereta.

Antara langkah-langkah yang boleh kita ambil bagi memastikan kita tidak lupa kepada anak atau bayi kita yang sedang tidur di kerusi belakang ialah:

1.    Meletakkan beg kerja atau fail penting kita di tempat duduk belakang. Kita pasti akan mengambil barang-barang ini apabila keluar dari kereta.

2.    Meletakkan tanda ‘Baby On Board’ atau apa-apa barangan bayi di stering, dashboard atau cermin depan kereta

3.    Menjadikan memeriksa kereta sebagai rutin check-list sebagaimana seperti kita hendak meninggalkan rumah. Ketika hendak meninggalkan rumah kita akan memastikan pintu semuanya berkunci, suiz elektrik dan paip air ditutup dan sebagainya.

4.    Bagi kenderaan awam (seperti van sekolah), perlu melakukan ‘head-count’ atau perlu ada senarai nama kanak-kanak yang menaiki van tersebut.

5.    Pastikan kunci kereta sentiasa ditempat selamat dan anak-anak tidak dapat mengambilnya. Ada kes dimana kanak-kanak ini masuk ke dalam kereta tanpa disedari.

6.    Hubungi pihak berkuasa sekiranya anda terlihat kanak-kanak keseorangan di dalam kereta yang ditinggalkan.

7.    NAMUN, YANG PALING UTAMA DAN TERBAIK IALAH, JANGAN SESEKALI MENINGGALKAN ANAK-ANAK KITA KESEORANGAN DI DALAM KERETA

Harap dapat ‘LIKE’ dan ‘SHARE’ maklumat ini. Moga ia dapat menjadi asbab mengelakkan perkara ini berulang. Terima kasih.

Dr. Mahyuddin