Monday, May 12, 2014

Tragedi Hari Ibu 2014


Hari ini, Ahad, 11 Mei 2014, ramai yang menyambut Hari Ibu. Namun bagi seorang pesakit saya, ia akan menjadi hari yang akan menjadi igauan sehingga akhir hayat.


Pesakit saya ini, Zila (bukan nama sebenar), baru berusia 13 tahun. Pagi tadi Zila menunggang motosikalnya di Bentong. Ibu Zila membonceng di belakang motosikal mereka.


Ini bukan kali pertama Zila menunggang motosikal. Malah dia sudah menunggang sejak berusia 8 tahun lagi. Semua budak di kampungnya pun begitu. Semuanya menunggang motosikal. Tiada yang pelik. Lesen memang tiada. Helmet memang tidak pernah dipakai. "Rimas" katanya. "Lagi pun bukannya nak pergi jauh pun, setakat bawak dalam kampung aje..."


Kadang-kadang ibu menyuruh Zila ke kedai runcit Ah Meng di belakang rumah untuk beli beras, gula atau susu pekat manis. Kadangkala Ayah mintak Zila belikan rokok sebungkus. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, Zila memang tak akan lepaskan peluang bawak motorsikal SYM ayahnya tu.
Kadang-kala Zila berselisih dengan kawan sekelas, Aidil dan Rayyan. Masing-masing tunggang motosikal ayah masing-masing. Tiada helmet. Melihat kepada rupa mereka, memang penuh dengan ekpresi rasa bangga menunggang motosikal pada usia remaja.


Hari ni Zila dan ibu nak ke kedai makan di tepi Dataran Bentong kerana mahu belikan makan pagi untuk mereka sekeluarga. Ibu hanya berkain batik lusuh. Zila pula berseluar sukan. Mereka bergerak dari rumah menghala ke Bandar Bentong. Tiba di depan masjid, mereka berhenti bagi melintas jalan.
Setelah memastikan tiada kereta, Zila memecut melintas jalan menghala ke lorong di tepi Dataran Bentong. "Zila...berhenti!!!!" Kedengaran sayup suara Ibunya menjerit.


Belum sempat Zila menoleh, mereka berdua terhumban kehadapan. Tergolek jatuh dari motosikal. Zila tercampak ke dalam longkang. Ibunya terhempas ke jalanraya. Zila sempat melihat darah merah mengalir dari kepala ibunya sebelum dia sendiri tidak sedarkan diri.


Beberapa pemuda yang berada di situ bergegas mendapatkan mereka. Zila dibawa ke Hospital Bentong. Tulang betis kanannya patah akibat hentakan kuat pada longkang.


Di hospital Zila mendapat tahu yang ibunya meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepalanya. "Ibuuuuu!!!!" Ibunya tiada lagi di dunia ini.


Zila dibawa ke Hospital Temerloh bagi rawatan lanjut. Setelah disiasat, punca kemalangan tersebut adalah disebabkan kain batik ibunya tersepit ditayar belakang motosikal mereka lalu menyebabkan motosikal mereka tersangkut dan jatuh. Begitu sadis.


Aku benarkan Zila pulang bagi menghadiri dan menguruskan pengurusan ijazah ibunya. Kakinya bersemen. Bagi melihat ibunya buat kali terakhir. Tiada lagi ibu yang akan membonceng motosikalnya.


Sama-sama kita mengambil pengajaran. Usah benarkan anak-anak kita menunggang motosikal. Malang tidak berbau.


Semoga Zila cepat sembuh. Semoga ibunya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman, aamiin. Inna lilLah wa inna ilaihi raajiuun.


*Ini adalah cerita benar yang telah saya olah semula*

x