Sunday, August 3, 2014

Torticollis: Apa yang menyebabkan kepala teleng?


Artikel ini telah di siarkan di website www.mmgazette.com pada Bulan Julai 2014. Sila klik sini utk baca lebih lanjut pelbagai info kesihatan di website ini.

Seorang kanak-kanak perempuan memandang tepat ke wajahku. Tiada senyuman di bibirnya. Kepala kanak-kanak ini terteleng ke kiri. Keadaan yang dikenali di kalangan pengamal perubatan sebagai Torticollis.


“Adik, boleh adik cuba pandang ke kiri? Sekarang, ke kanan?” Aku cuba menggerakkan kepada anak kecil berusia 7 tahun itu namun gagal. Pemeriksaan pada bahagian leher beliau menunjukkan tiada tanda kesakitan apabila tulang tengkuk beliau ditekan. Namun, otot leher beliau berada dalam keadaan spasm atau kekejangan.


“Anak Encik pernah terjatuh atau tercedera pada bahagian tengkuk sebelum kepala menjadi teleng?” Aku perlu pastikan Torticollis ini tidak disebabkan oleh kepatahan tulang atau sendi tengkuk kanak-kanak ini terseliuh. “Tak pernah.” Ringkas jawapan yang diberi oleh bapa kanak-kanak ini.

“Dia ada tak demam dalam seminggu atau 2 minggu yang lepas?” Soalan terpacul keluar dari mulutku. Fikiranku memikirkan satu diagnosis yang paling jarang, namun boleh terjadi – ‘Grisel’s syndrome’.

“Oh, ada doktor. Dia baru aje baik demam 2 minggu lepas, dia dapat tonsil. Doktor klinik swasta bagi antibiotik dan lepas tu dia sembuh. 3 hari lepas tu, kepala dia jadi teleng, doktor”. Panjang lebar ayahnya bercerita.


Aku memberi diagnosis Grisel’s Syndrome kepada kanak-kanak ini. Beliau dimasukkan ke wad bagi melakukan Halter traction di mana kepala beliau akan ditarik secara berhati-hati, perlahan-lahan dan sekata bagi membolehkan ketelengan tengkuk beliau dibetulkan kembali. Adik ini sembuh selepas seminggu di dalam wad.


Torticollis boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Secara amnya, ia terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu Congenital (Torticollis dikesan sejak kelahiran) atau Acquired (Torticollis disebabkan oleh punca-punca lain).



Congenital Torticollis

Ia berlaku dalam 0.3 hingga 2 peratus kelahiran. Punca sebenar Torticollis yang terjadi sejak lahir ini masih belum diketahui. Teori mencadangkan kecederaan semasa proses kelahiran atau kedudukan bayi semasa dalam kandungan mungkin menyebabkan ia berlaku.

  • Congenital Muscular Torticollis
  • Grisel’s Syndrome (akibat jangkitan kuman pada telinga atau tekak).
  • Kecederaan pada tulang atau sendi tulang tengkuk.
  • Kecederaan kepada otot tengkuk (Sternocleidomastoid).
  • Ketumbuhan pada otot Sternocleidomastoid.
  • Kecederaan pada saraf Sternocleidomastoid.
  • Kecederaan kepada bekalan darah otot Sternocleidomastoid.
  • Kebengkakan pada kelenjar limfa (lymph nodes).
  • Barah otak (Posterior Fossa Tumour atau base of skull tumour).
  • Sesetengah ubat seperti antipsychotics dan phenothiazines.

Acquired Torticollis (Torticollis sekunder)
Kebiasaannya pesakit akan datang dengan kepala yang teleng ke arah otot yang kekejangan. Pergerakan tengkuk adalah terbatas. Sekiranya berlanjutan, ia boleh menyebabkan sakit tengkuk dan kepala.

Rawatan bagi setiap masalah Torticollis ini adalah bergantung kepada diagnosis yang diberi. Majoriti kondisi ini hanya perlu menjalanitraction dan fisioterapi. Namun, pembedahan mungkin perlu dijalankan sekiranya rawatan ini tidak berjaya. Anda dinasihatkan segera berjumpa doktor sekiranya ia berlaku kepada ahli keluarga anda.



Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahyuddin, seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan
  1. Orthopaedic Secrets, 3rd Edition. David E. Brown, Randall D. Newmann
  2. Cheng, JC; Wong, MW; Tang, SP; Chen, TM; Shum, SL; Wong, EM (2001). “Clinical determinants of the outcome of manual stretching in the treatment of congenital muscular torticollis in infants. A prospective study of eight hundred and twenty-one cases”. The Journal of bone and joint surgery. American volume 83–A (5): 679–87.

No comments:

Post a Comment