Sunday, August 10, 2014

Mercun dan Monyet

Fakta menarik di Temerloh.

Sehingga sekarang, terdapat 6 kes kecederaan akibat bermain mercun yang telah dimasukkan ke wad aku. Daripada 6 kes ini, 4 dimasukkan semasa bulan Ramadhan yang lepas. yang ironinya, hanya 2 kes ni adalah kanak2, bakinya adalah pesakit dewasa berusia 30 tahun ke atas. (tak puas main mercun agaknya...aiseh)

Bagi 2 kes lagi berlaku diluar bulan Ramadhan. Kedua2 kes ini adalah akibat kecederaan tangan akibat mercun meletup sebelum pesakit sempat melemparnya. Kedua-dua pesakit ni menggunakan mercun bagi menghalau MONYET.

Habis hancur tangan. Jari yang terkorban pun ada, Rasanya, ada cara yang lebih efektif bagi menghalau monyet2 ni daripada melemparkan mercun.

Lempar mercun, monyet LARI, tangan pun PERGI.

Tuesday, August 5, 2014

Diabetic Foot - Kaki Anda Perlu Dipotong!!

Artikel ini telah disiarkan di Malaysian Medical Gazette. Anda boleh dapatkan pelbagai info perubatan melalui laman sesawang ini. Sila klik di sini.

*****************************************************************************************************************************
Masalah kaki bernanah atau berulat adalah amat biasa terjadi di kalangan pesakit kencing manis di negara kita. Keadaan ini bertambah kronik lagi dengan kecenderungan masyarakat kita yang lebih suka mencuba rawatan tradisional dan herbal. Ramai yang menjadikan rawatan hospital sebagai ‘last resort’ atau pilihan terakhir mereka.

Anggapan mereka, sekiranya ke hospital, kaki mereka pasti dipotong. Apa yang mereka tidak sedar adalah kelewatan mereka ke hospital itulah yang mengakibatkan doktor tiada pilihan lain. Pada kami, nyawa adalah lebih penting daripada kaki. ‘Life Before Limb’, itulah prinsip kami.

Kebanyakan pesakit pergi ke hospital apabila kaki mereka telah membusuk ke tahap tidak dapat diselamatkan lagi. Malah, ada yang datang dengan ‘Sepsis’ dimana, kuman telah pun merebak ke dalam sistem peredaran darah dan boleh merosakkan organ dalaman pesakit. Sekiranya tempat asal kuman ini tidak dibuang, maka pesakit mungkin tidak dapat diselamatkan walaupun antibiotik diberi.
Pesakit kencing manis mudah mendapat masalah jangkitan ini akibat tiga keadaan pesakit kencing manis iaitu:
  1. Neuropathy – Ia adalah keadaan dimana terdapat kerosakan pada sistem saraf pesakit. Ia boleh dibahagikan lagi kepada tiga iaitu ‘sensory’, ‘motor’ dan ‘autonomic’
  2. Vasculopathy Vasculopathy pula merujuk kepada keadaan tidak normal pada system salur darah pesakit kencing manis. Sistem peredaran darah pesakit ini biasanya kurang baik akibat tersumbat yang menyebabkan kekurangan bekalan oksigen serta nutrien.
  3. Immunopathy - Immunopathy adalah keadaan di mana pesakit kencing manis ini lebih mudah terdedah kepada jangkitan  kuman akibat kelemahan sistem pertahanan badan mereka.

Kaki pesakit kencing manis ini biasanya kebas. Mereka tidak akan terasa walaupun mereka terpijak paku atau berjalan di atas permukaan yang panas. Saya pernah mendapat pesakit yang melecur kakinya akibat daripada bertungku. Mengalami luka pada kaki adalah perkara pertama yang akan membawa kepada lebih banyak masalah.

Sekiranya anda mempunyai saudara yang mempunyai penyakit kencing manis, nasihatkan mereka untuk segera berjumpa doktor sekiranya kaki mereka terluka. Tisu yang busuk atau dijangkiti kuman perlu dicuci dan tisu yang mati perlu dibuang. Kelewatan rawatan boleh menyebabkan kehilangan kaki, atau lebih teruk lagi, kehilangan nyawa mereka!
Langkah-langkah awal boleh diambil bagi mengelakkan masalah luka ini daripada berlaku. Antara nasihat yang boleh diberikan ialah:
  1. Sentiasa memastikan kaki tidak terlalu kering. Kaki yang kering boleh merekah dan luka. Pesakit boleh menggunakan minyak bayi atau minyak zaitun bagi melembabkan kulit.
  2. Kaki perlu dilap apabila keluar daripada bilik air atau tandas. Kaki yang basah, terutamanya di celah-celah jari, memudahkan jangkitan kulat (fungus)
  3. Pesakit perlu memeriksa stoking dan kasut sebelum memakai mereka bagi memastikan tiada batu, kayu atau benda-benda tajam di dalamnya.
  4. Sentiasa memakai kasut yang sesuai sekiranya berjalan. Elakkan selipar atau sandal yang mendedahkan jari kerana ia lebih mudah terluka.
  5. Sentiasa memeriksa kaki sebelum tidur, dengan menggunakan cermin bagi melihat kawasan-kawasan yang sukar dilihat. Pemeriksaan kaki sendiri ini seeloknya dibuat dua kali sehari.
Pesakit kencing manis yang mempunyai luka atau ulser di kaki mempunyai 15 peratus risiko untuk menghadapi amputasi atau dipotong kaki mereka akibat kaki yang membusuk, bernanah dan mati (gangrene).

Marilah kita sama-sama menasihati kenalan kita mengenai kepentingan menjaga kaki dan mengawal paras gula dalam darah.  Lebih baik lagi ialah mengelakkan diri dan kenalan kita daripada menghidap kencing manis.

Sunday, August 3, 2014

Torticollis: Apa yang menyebabkan kepala teleng?


Artikel ini telah di siarkan di website www.mmgazette.com pada Bulan Julai 2014. Sila klik sini utk baca lebih lanjut pelbagai info kesihatan di website ini.

Seorang kanak-kanak perempuan memandang tepat ke wajahku. Tiada senyuman di bibirnya. Kepala kanak-kanak ini terteleng ke kiri. Keadaan yang dikenali di kalangan pengamal perubatan sebagai Torticollis.


“Adik, boleh adik cuba pandang ke kiri? Sekarang, ke kanan?” Aku cuba menggerakkan kepada anak kecil berusia 7 tahun itu namun gagal. Pemeriksaan pada bahagian leher beliau menunjukkan tiada tanda kesakitan apabila tulang tengkuk beliau ditekan. Namun, otot leher beliau berada dalam keadaan spasm atau kekejangan.


“Anak Encik pernah terjatuh atau tercedera pada bahagian tengkuk sebelum kepala menjadi teleng?” Aku perlu pastikan Torticollis ini tidak disebabkan oleh kepatahan tulang atau sendi tengkuk kanak-kanak ini terseliuh. “Tak pernah.” Ringkas jawapan yang diberi oleh bapa kanak-kanak ini.

“Dia ada tak demam dalam seminggu atau 2 minggu yang lepas?” Soalan terpacul keluar dari mulutku. Fikiranku memikirkan satu diagnosis yang paling jarang, namun boleh terjadi – ‘Grisel’s syndrome’.

“Oh, ada doktor. Dia baru aje baik demam 2 minggu lepas, dia dapat tonsil. Doktor klinik swasta bagi antibiotik dan lepas tu dia sembuh. 3 hari lepas tu, kepala dia jadi teleng, doktor”. Panjang lebar ayahnya bercerita.


Aku memberi diagnosis Grisel’s Syndrome kepada kanak-kanak ini. Beliau dimasukkan ke wad bagi melakukan Halter traction di mana kepala beliau akan ditarik secara berhati-hati, perlahan-lahan dan sekata bagi membolehkan ketelengan tengkuk beliau dibetulkan kembali. Adik ini sembuh selepas seminggu di dalam wad.


Torticollis boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Secara amnya, ia terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu Congenital (Torticollis dikesan sejak kelahiran) atau Acquired (Torticollis disebabkan oleh punca-punca lain).



Congenital Torticollis

Ia berlaku dalam 0.3 hingga 2 peratus kelahiran. Punca sebenar Torticollis yang terjadi sejak lahir ini masih belum diketahui. Teori mencadangkan kecederaan semasa proses kelahiran atau kedudukan bayi semasa dalam kandungan mungkin menyebabkan ia berlaku.

  • Congenital Muscular Torticollis
  • Grisel’s Syndrome (akibat jangkitan kuman pada telinga atau tekak).
  • Kecederaan pada tulang atau sendi tulang tengkuk.
  • Kecederaan kepada otot tengkuk (Sternocleidomastoid).
  • Ketumbuhan pada otot Sternocleidomastoid.
  • Kecederaan pada saraf Sternocleidomastoid.
  • Kecederaan kepada bekalan darah otot Sternocleidomastoid.
  • Kebengkakan pada kelenjar limfa (lymph nodes).
  • Barah otak (Posterior Fossa Tumour atau base of skull tumour).
  • Sesetengah ubat seperti antipsychotics dan phenothiazines.

Acquired Torticollis (Torticollis sekunder)
Kebiasaannya pesakit akan datang dengan kepala yang teleng ke arah otot yang kekejangan. Pergerakan tengkuk adalah terbatas. Sekiranya berlanjutan, ia boleh menyebabkan sakit tengkuk dan kepala.

Rawatan bagi setiap masalah Torticollis ini adalah bergantung kepada diagnosis yang diberi. Majoriti kondisi ini hanya perlu menjalanitraction dan fisioterapi. Namun, pembedahan mungkin perlu dijalankan sekiranya rawatan ini tidak berjaya. Anda dinasihatkan segera berjumpa doktor sekiranya ia berlaku kepada ahli keluarga anda.



Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahyuddin, seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan
  1. Orthopaedic Secrets, 3rd Edition. David E. Brown, Randall D. Newmann
  2. Cheng, JC; Wong, MW; Tang, SP; Chen, TM; Shum, SL; Wong, EM (2001). “Clinical determinants of the outcome of manual stretching in the treatment of congenital muscular torticollis in infants. A prospective study of eight hundred and twenty-one cases”. The Journal of bone and joint surgery. American volume 83–A (5): 679–87.