Saturday, December 6, 2014

Masalah anak berjalan mengangkang, Genu Varum atau Bow leg. Kenapa ia berlaku?

Anda mungkin pernah menonton cerita Pendekar Badul di mana Allahyarham Ibrahim Pendek dan Param berjalan seperti kongkang dalam salah satu adegan filem tersebut. Memang menggelikan hati, kan? Atau mungkin anda pernah terserempak dengan kanak-kanak yang berjalan dengan kaki yang mengangkang? Tahukah anda bagaimana ia terjadi?

Ia juga adalah antara punca utama ibu bapa membawa anak mereka berjumpa kami di Klinik Pakar Ortopedik. Ramai ibu bapa yang risau apabila melihat anak mereka yang mula bertatih kelihatan bengkok kakinya. Kebengkokan tulang keting tibia ini hampir menyerupai bentuk busur panah. Oleh sebab itu, ia mendapat nama jolokan ‘bowed-leg’. Dalam bidang perubatan ia dikenali sebagai Genu Varum.

Genu Varum or Bow-leg (Pic source: www.hxbenefit.com)

Punca-punca Bowleg
Terdapat beberapa punca yang menyebabkan tulang tibia menjadi bengkok. Ia termasuk:
  1. Fisiologi
  2. Blount’s Disease
  3. Trauma
  4. Jangkitan kuman (Infection)
  5. Ketumbuhan (Tumour)
  6. Ricket
  7. Skeletal dysplasia, seperti Achondroplasia, osteogenesis imperfecta
  8. Neuromuscular disease, contohnya polio dan spina bifida
2 penyebab utama bowed-leg adalah fisiologi dan Blount’s Disease. 

Fisiologi
Bowed-leg sebenarnya adalah normal bagi bayi dan kanak-kanak yang berusia kurang daripada 2 tahun. Mengikut perkembangan tulang serta sendi manusia, bayi dan kanak-kanak berusia kurang daripada 2 tahun mempunyai kaki yang membengkok ke luar seperti busur. Kebengkokan ini akan melurus sekitar usia 2 tahun dan menyerupai kaki orang dewasa, iaitu membengkok sedikit ke dalam (valgus) menjelang usia 4 tahun.

Blount’s Disease
Blount’s disease adalah satu penyakit di mana tempat pertumbuhan tulang (physis) tulang keting (tibia) berhampiran sendi lutut kanak-kanak menjadi tidak normal yang menyebabkan tulang keting memanjang secara tidak sekata lantas menjadikannya bengkok. Sebab sebenar penyakit ini masih tidak diketahui. Namun, mengikut statistik, ia lebih kerap berlaku kepada kanak-kanak lelaki, terutamanya yang berbadan gempal dan bertatih awal (early walking). Menurut teori, berjalan awal ini boleh menyebabkan kecederaan berulang kepada physis.

Genetik
Terdapat juga kebengkokan yang disebabkan oleh faktor genetik pesakit. Allahyarham Ibrahim Pendek dan Param menghidapAchondroplasia iaitu sejenis penyakit genetik dari kumpulan Bone dysplasia (Dwarfism). Terdapat juga beberapa jenis dysplasia yang lain termasuk Spondylo-Epiphyseal Dysplasia (SED) dan Multiple Epiphyseal Dysplasia (MED).

Kekurangan Zat Kalsium
Kekurangan zat kalsium pada kanak-kanak boleh menyebabkan penyakit Rickets dan menyebabkan tulang membengkok. Zat kalsium amat penting bagi menguatkan tulang dan memperkayakan kawasan pertumbuhan tulang dengan mineral. Kanak-kanak yang kekurangan kalsium akan mempunyai kaki yang bengkok, tulang yang lemah serta ligamen yang longgar.

Kerosakan Physis
Perlu juga diingat, sebarang kerosakan yang berlaku pada bahagian physis ini juga boleh menyebabkan physis menjadi tidak normal dan menyebabkan kebengkokan ini berlaku. Kerosakan ini boleh disebabkan oleh jangkitan kuman, trauma ataupun ketumbuhan tulang seperti Osteochondroma.

Apa yang doktor ingin tahu dari anda?
Sekiranya anda rasa anak anda berjalan dengan cara yang agak pelik, saya nasihatkan anda segera berjumpa dengan dengan doktor bagi mengenalpasti sebarang masalah. Doktor akan memastikan sama ada kebengkokkan ini adalah disebabkan oleh proses pembesaran yang normal (physiological) ataupun terdapat sebarang masalah perubatan yang perlu ditangani dengan segera.

Doktor akan bertanya beberapa soalan sebelum melakukan pemeriksaan ke atas anda atau anak anda. Soalan-soalan ini adalah perlu bagi membuat diagnosis yang tepat serta memansuhkan diagnosis yang lain seperti yang telah saya ceritakan di atas. Antara soalan yang akan ditanya ialah sejarah perubatan pesakit, kemalangan yang lalu, sejarah penyakit dalam keluarga serta sejarah kelahiran dan pembesaran anak anda.

Perlukah anak anda menjalani imbasan x-ray?
X-ray sebenarnya tidak perlu dilakukan ke atas setiap pesakit. Anda perlu tahu bahawa x-ray mempunyai radiasi yang tidak baik bagi kesihatan badan manusia.
Antara contoh kes yang memerlukan pemeriksaan x-ray adalah seperti berikut:
  1. Kebengkokkan hanya pada sebelah kaki
  2. Kebengkokkan tidak simetri pada kedua-dua belah kaki
  3. Kanak-kanak berusia melebihi 3 tahun
  4. Pesakit mempunyai sejarah penyakit tulang dalam keluarga (bone dysplasia, Ricket dan sebagainya)
  5. Pesakit pendek atau Dwarfism (bone dysplasia atau masalah endokrin)
X-ray dilakukan bagi mengira darjah kebengkokan yang berlaku pada bahagian tulang tibia anda. Ia menentukan rawatan yang akan diberikan kepada anda nanti.

Rawatan
Rawatan bagi bowed-leg bergantung kepada diagnosis yang menjadi penyebab kepada masalah ini. Masalah fisiologi bagi kanak-kanak berusia kurang daripada 2 tahun biasanya tidak memerlukan sebarang rawatan. Kami akan memberi temujanji susulan bagi melihat perkembangan kebengkokan tersebut.
Bagi Blount’s Disease, ia terbahagi kepada beberapa tahap yang akan menentukan sama ada pembedahan perlu dilakukan atau pesakit hanya perlu memakai alat sokongan (brace) bagi membetulkan kebengkokan tersebut. Umur pesakit juga memainkan peranan. Pesakit yang datang awal untuk mendapatkan rawatan dengan tahap kebengkokkan yang minimum biasanya boleh dirawat tanpa pembedahan.

Pembedahan, sekiranya perlu, bergantung kepada jenis penyakit, umur serta darjah kebengkokan kaki pesakit. Ia melibatkan penggunaan staple bagi menyeimbangkan pertumbuhan tulang di kawasan physis. Bagi pesakit yang telah dewasa di mana tiada lagi pertumbuhan tulang yang boleh berlaku, pembedahan yang lebih besar mungkin perlu dilakukan bagi membetulkan kebengkokan ini.
Sekiranya anda atau anak anda mempunyai kaki yang bengkok, saya nasihatkan anda segera berjumpa Pakar Ortopedik yang berhampiran. Kelewatan boleh menyebabkan komplikasi pada ligamen dan sendi lutut pesakit.

Artikel ini telah disiarkan di dalam Online Portal, Malaysian Medical Gazette pada 3/12/2014 dan juga diterbitkan di dalam akhbar Berita Harian, bertarikh 6/12/2014.

Rujukan
  • Postgraduate Orthopaedics. Paul A. Banaszkiewicz. p394
  • Review of Orthopaedics, 5th Mark D. Miller. P234

1 comment: