Monday, October 20, 2014

Kepatahan Tulang Lengan Kanak-Kanak

Cuti Sekolah dan Patah Tulang Lengan 

Artikel ini telah disiarkan pada online health website - Malaysian Medical Gazette (http://www.mmgazette.com/patah-tulang-lengan-dr-ahmad-mahyuddin) bertarikh 5/09/2014 dan juga telah disiarkan dalam Akhbar Berita Harian bertarikh 20/09/2014

Musim cuti sekolah sudah hampir tiba lagi. Bagi kami di Jabatan Ortopedik, musim cuti ini memberi makna yang tersendiri. Saban tahun, pada musim inilah Wad Ortopedik akan dipenuhi dengan pesakit kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital akibat kepatahan tulang lengan atau lebih dikenali sebagai Supracondylar Humerus Fracture.

Situasi ini selalunya terjadi apabila kanak-kanak terjatuh semasa sedang asyik bermain, lebih-lebih lagi semasa memanjat ‘monkey-bar’ di taman permainan atau pokok yang tinggi di kawasan perkarangan rumah. Biasanya kanak-kanak ini jatuh dengan keadaan siku mereka lurus ke hadapan sambil bahagian tapak tangan menekan ke tanah, untuk mengelakkan bahagian muka atau kepala daripada tercedera. Mekanisma jatuh tersebut dikenali sebagai Fall On Out-Stretched Hand dalam bahasa Inggeris dengan akronimnya, FOOSH.

Ini akan menyebabkan kepatahan tulang lengan pada bahagian atas siku mereka. Mereka biasanya datang ke unit kecemasan dalam keadaan kesakitan, siku yang bengkak dan kadangkala bengkok akibat trauma yang dialami. Dalam kes-kes yang serius, kepatahan ini boleh menyebabkan kecederaan pada saraf di bahagian lengan iaitu Median dan Ulnar Nerve, atau menekan salur darah utama, brachial artery yang boleh menyebabkan tangan pesakit mati atau gangrene.

Sekiranya kanak-kanak ini terjatuh dan mengadu rasa sakit pada bahagian siku mereka, atau siku mereka kelihatan bengkak dan bengkok, segeralah bawa mereka ke hospital bagi pemeriksaan lanjut. Ini adalah penting untuk memastikan kepatahan ini tidak berlaku.

Tahap Kepatahan
Secara asasnya Supracondylarfracture of Humerus ini boleh dibahagikan kepada tiga tahap:
  1. Tahap Pertama – Kepatahan berlaku namun tidak beralih (undisplaced fracture)
  2. Tahap Kedua – Kepatahan berlaku namun sebahagian daripada tulang lengan itu (posterior cortex) tidak patah sepenuhnya
  3. Tahap Ketiga – Kepatahan berlaku dan beralih sepenuhnya (completely displaced fracture)

Kepatahan tulang lengan kanak-kanak ini pada bahagian atas siku kiri

Xray pada pandangan sisi (lateral view) di mana bahagian tulang yang patah tidak begitu jelas kelihatan.


Rawatan
Rawatan bagi kanak-kanak ini bergantung kepada tahap kepatahan yang mereka alami.
Langkah pertama rawatan bermula dengan, kemasukan ke Wad Ortopedik bagi proses pemerhatian kecederaan; terutama sekali pada bahagian salur darah dan saraf lengan yang terlibat. Langkah ini penting untuk memastikan kanak-kanak tersebut tidak terus menggerakkan bahagian yang patah bagi mengelakkan tulang dibahagian tersebut daripada terus beralih. Selain itu, peredaran darah(blood circulation) akan direkodkan berserta dengan kepekatan gas oksigen (Oxygen saturation) di hujung jari-jari tangan yang terlibat. Untuk mengurangkan bengkak di bahagian lengan yang patah, kami akan meninggikan aras tangan mereka semasa berehat (elevation)dan tuam menggunakan ais.
Seterusnya, lengan anak anda akan dipasangkan dengan backslab, sejenis simen yang dinamakan Plaster of Paris, bagi mengelakkan kepatahan itu daripada beralih. Sekiranya ia beralih, kami mungkin akan memasang alat yang dipanggil traction bagi mengurangkan kebengkokan dan kesakitan anak anda.

Bagi rawatan kepatahan tahap pertama, pemasangan simen dari bahagian atas siku sehingga bahagian tangan adalah memadai. Tiada pembedahan diperlukan. Xray akan diambil selepas pemasangan simen bagi memastikan kepatahan tidak beralih.

Manakala untuk kepatahan peringkat kedua dan ketiga, prosedur tarikan atau Closed Manipulative Reduction (CMR) akan dilaksanakan. Sekiranya gagal, prosedur ini akan dilakukan di dewan bedah dengan menggunakan kamera khas yang dikenali sebagai Image Intensifieratau I/I. Kepatahan pada lengan anak anda akan dibetulkan ke kedudukan asal dan dipegang dengan menggunakan wayar stainlesssteel. Kedudukan tulang ini kemudiannya diperiksa semula dengan menggunakan mesin I/I selepas wayar stainless steel diletakkan.

Ia memerlukan teknik tarikan yang tertentu bagi memastikan tulang lengan anak anda berada dalam kedudukan tepat seperti mana sebelumnya. Sekiranya gagal dibetulkan dengan kaedah tarikan, barulah pembedahan akan dilakukan. Anak anda akan diberikan ubat bius penuh sepanjang prosedur tersebut.

Proses Pemulihan
Pesakit biasanya akan dibenarkan pulang dua hari selepas prosedur atau pembedahan dilakukan. X-ray akan dilakukan bagi memastikan kepatahan dan wayar berada ditempat yang betul. Wayar ini kemudiannya akan ditarik keluar selepas tiga minggu, dimana pada ketika itu, tulang-tulang baru atau soft callus telah mula terbentuk dan kepatahan sudah mula bercantum. Adalah amat penting bagi ibubapa untuk menggalakkan anak mereka melakukan fisioterapi untuk mendapatkan kembali pergerakan sendi siku yang normal. Kepatahan ini akan sembuh sepenuhnya dalam masa enam hingga lapan minggu.

Peringatan ikhlas dari saya, datanglah segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi kes-kes kepatahan seperti ini. Lupakanlah niat anda untuk berjumpa bomoh atau mendapatkan rawatan tradisional kerana ketidaktepatan dalam merawat kepatahan tulang ini akan menimbulkan masalah yang besar dikemudian hari. Anak anda akan datang dengan siku yang bengkok seperti selaras senapang, keadaan yang kami panggil ‘gun stock deformity’. Ini boleh terjadi sekiranya kepatahan Supracondylar humerus tidak ditarik dengan betul dan bercantum dengan tidak tepat. Sekiranya ini terjadi, kami perlu melakukan pembedahan besar, dengan cara mematahkan kembali tulang yang telah bengkok tersebut untuk membetulkan kembali kedudukan tulang ke kedudukan asalnya. Pergerakan siku serta percatuman kembali tulang daripada hasil pembedahan ini tidaklah setanding dengan hasil rawatan sekiranya ia diberikan perhatian yang lebih awal.


Dr. Mahyuddin

Rujukan
  1. Reza Omid, Paul D. Choi and David L. Skaggs. Supracondylar Humeral fracture in Children. J Bone Joint Surg Am. 2008;90:1121-1132.
  2. Mininder S. Kocher, James R. Kasser, Peter M. Waters, Donald Bae, Brian D. Snyder, M. Timothy Hresko, Daniel Hedequist, Lawrence Karlin, Young-Jo Kim, Martha M. Murray, Michael B. Millis, John B. Emans, Laura Dichtel, Travis Matheney and Ben M. Lee. Lateral Entry Compared with Medial and Lateral Entry Pin Fixation for Completely Displaced Supracondylar Humeral Fractures in Children. A Randomized Clinical Trial. J Bone Joint Surg Am. 2007;89:706-712

Sunday, August 10, 2014

Mercun dan Monyet

Fakta menarik di Temerloh.

Sehingga sekarang, terdapat 6 kes kecederaan akibat bermain mercun yang telah dimasukkan ke wad aku. Daripada 6 kes ini, 4 dimasukkan semasa bulan Ramadhan yang lepas. yang ironinya, hanya 2 kes ni adalah kanak2, bakinya adalah pesakit dewasa berusia 30 tahun ke atas. (tak puas main mercun agaknya...aiseh)

Bagi 2 kes lagi berlaku diluar bulan Ramadhan. Kedua2 kes ini adalah akibat kecederaan tangan akibat mercun meletup sebelum pesakit sempat melemparnya. Kedua-dua pesakit ni menggunakan mercun bagi menghalau MONYET.

Habis hancur tangan. Jari yang terkorban pun ada, Rasanya, ada cara yang lebih efektif bagi menghalau monyet2 ni daripada melemparkan mercun.

Lempar mercun, monyet LARI, tangan pun PERGI.

Tuesday, August 5, 2014

Diabetic Foot - Kaki Anda Perlu Dipotong!!

Artikel ini telah disiarkan di Malaysian Medical Gazette. Anda boleh dapatkan pelbagai info perubatan melalui laman sesawang ini. Sila klik di sini.

*****************************************************************************************************************************
Masalah kaki bernanah atau berulat adalah amat biasa terjadi di kalangan pesakit kencing manis di negara kita. Keadaan ini bertambah kronik lagi dengan kecenderungan masyarakat kita yang lebih suka mencuba rawatan tradisional dan herbal. Ramai yang menjadikan rawatan hospital sebagai ‘last resort’ atau pilihan terakhir mereka.

Anggapan mereka, sekiranya ke hospital, kaki mereka pasti dipotong. Apa yang mereka tidak sedar adalah kelewatan mereka ke hospital itulah yang mengakibatkan doktor tiada pilihan lain. Pada kami, nyawa adalah lebih penting daripada kaki. ‘Life Before Limb’, itulah prinsip kami.

Kebanyakan pesakit pergi ke hospital apabila kaki mereka telah membusuk ke tahap tidak dapat diselamatkan lagi. Malah, ada yang datang dengan ‘Sepsis’ dimana, kuman telah pun merebak ke dalam sistem peredaran darah dan boleh merosakkan organ dalaman pesakit. Sekiranya tempat asal kuman ini tidak dibuang, maka pesakit mungkin tidak dapat diselamatkan walaupun antibiotik diberi.
Pesakit kencing manis mudah mendapat masalah jangkitan ini akibat tiga keadaan pesakit kencing manis iaitu:
  1. Neuropathy – Ia adalah keadaan dimana terdapat kerosakan pada sistem saraf pesakit. Ia boleh dibahagikan lagi kepada tiga iaitu ‘sensory’, ‘motor’ dan ‘autonomic’
  2. Vasculopathy Vasculopathy pula merujuk kepada keadaan tidak normal pada system salur darah pesakit kencing manis. Sistem peredaran darah pesakit ini biasanya kurang baik akibat tersumbat yang menyebabkan kekurangan bekalan oksigen serta nutrien.
  3. Immunopathy - Immunopathy adalah keadaan di mana pesakit kencing manis ini lebih mudah terdedah kepada jangkitan  kuman akibat kelemahan sistem pertahanan badan mereka.

Kaki pesakit kencing manis ini biasanya kebas. Mereka tidak akan terasa walaupun mereka terpijak paku atau berjalan di atas permukaan yang panas. Saya pernah mendapat pesakit yang melecur kakinya akibat daripada bertungku. Mengalami luka pada kaki adalah perkara pertama yang akan membawa kepada lebih banyak masalah.

Sekiranya anda mempunyai saudara yang mempunyai penyakit kencing manis, nasihatkan mereka untuk segera berjumpa doktor sekiranya kaki mereka terluka. Tisu yang busuk atau dijangkiti kuman perlu dicuci dan tisu yang mati perlu dibuang. Kelewatan rawatan boleh menyebabkan kehilangan kaki, atau lebih teruk lagi, kehilangan nyawa mereka!
Langkah-langkah awal boleh diambil bagi mengelakkan masalah luka ini daripada berlaku. Antara nasihat yang boleh diberikan ialah:
  1. Sentiasa memastikan kaki tidak terlalu kering. Kaki yang kering boleh merekah dan luka. Pesakit boleh menggunakan minyak bayi atau minyak zaitun bagi melembabkan kulit.
  2. Kaki perlu dilap apabila keluar daripada bilik air atau tandas. Kaki yang basah, terutamanya di celah-celah jari, memudahkan jangkitan kulat (fungus)
  3. Pesakit perlu memeriksa stoking dan kasut sebelum memakai mereka bagi memastikan tiada batu, kayu atau benda-benda tajam di dalamnya.
  4. Sentiasa memakai kasut yang sesuai sekiranya berjalan. Elakkan selipar atau sandal yang mendedahkan jari kerana ia lebih mudah terluka.
  5. Sentiasa memeriksa kaki sebelum tidur, dengan menggunakan cermin bagi melihat kawasan-kawasan yang sukar dilihat. Pemeriksaan kaki sendiri ini seeloknya dibuat dua kali sehari.
Pesakit kencing manis yang mempunyai luka atau ulser di kaki mempunyai 15 peratus risiko untuk menghadapi amputasi atau dipotong kaki mereka akibat kaki yang membusuk, bernanah dan mati (gangrene).

Marilah kita sama-sama menasihati kenalan kita mengenai kepentingan menjaga kaki dan mengawal paras gula dalam darah.  Lebih baik lagi ialah mengelakkan diri dan kenalan kita daripada menghidap kencing manis.