Saturday, December 27, 2014

Congenital Clubfoot or Congenital Talipes Equino Varus (CTEV), Masalah yang biasa berlaku namun tidak ramai yang tahu.

Kelahiran setiap cahaya mata disambut dengan penuh kegirangan dan kesyukuran. Namun adakalanya ibubapa diuji dengan kecacatan pada bayi yang mereka amat nantikan itu. Antara kecacatan yang mungkin terjadi ialah satu kondisi yang dikenali sebagai Congenital Clubfoot. Bagi pengamal perubatan, istilahCongenital Talipes Equino Varus atau CTEV digunakan. Bayi yang dilahirkan dengan kondisi ini mempunyai kaki berbentuk seumpama hujung batang golf atau ‘club’ yang menjadi asal nama kondisi ini diambil.

Bayi dengan Clubfoot mempunyai kaki yang meninjik ke bawah (equinus), melengkung (varus) dan membengkok ke arah dalam (adducted). Keadaan kaki yang ganjil ini disebabkan oleh abnormaliti pada kedudukan tulang kaki yang membengkok ke arah dalam serta otot, ligament, tendon dan kapsul sendi yang mengecut (contracted) lantas beralih dari kedudukan normal.

Kedua-dua kaki bayi dengan CTEV ini membengkok ke arah dalam. (gambar dari http://orthodoc.aaos.org)


Rakyat Asia Lebih Berisiko Tinggi
Dianggarkan saban tahun seratus ribu bayi lahir dengan kondisi ini di seluruh dunia. Masyarakat Asia lebih berisiko mendapat kondisi ini dengan tiga kes daripada seribu kelahiran berbanding satu dalam seribu kelahiran bagi masyarakat Caucasian. Ia lebih kerap berlaku pada bayi perempuan dan melibatkan kedua-dua kaki dalam 50 peratus daripada kes. Sekiranya salah seorang daripada ibu atau bapa mempunyai kondisi ini, bayi mereka mempunyai risiko 3-4 peratus untuk turun mengalaminya, namun sekiranya kedua-dua ibubapa mempunyai kondisi ini, risiko ini meningkat mendadak kepada 30 peratus!
Beberapa teori yang dikemukakan bagi menerangkan kenapa Clubfoot berlaku termasuk masalah saraf pada otot, abnormaliti pada sel tisu otot dan ligamen, masalah genetik, jangkitan virus dan juga teori kesempitan ruang dalam rahim. Namun, sebab sebenar masih lagi merupakan satu misteri.
Bayi yang tidak dirawat dengan sempurna akan mempunyai kecacatan fizikal yang kekal dan tekanan psikologi daripada masyarakat apabila mereka meningkat dewasa.

Teknik Ponseti
Sebelum tahun 1940 kaki bayi ini perlu dibedah bagi mengembalikannya kembali ke bentuk asal. Namun, hasilnya tidak begitu memberangsangkan. Selepas melakukan kajian dan mengikuti perkembangan pesakit beliau yang dirawat sendiri selama lebih 35 tahun, Dr. Ignacio Ponseti telah memperkenalkan satu kaedah yang dikenali sebagai Ponseti Method yang melibatkan penggunaan simen Plaster of Paris (POP) melalui kaedah membetulkan kaki bayi secara berperingkat (Serial Casting). Kaedah ini telah menunjukkan kejayaan yang menakjubkan!

Rawatan
Rawatan boleh dimulakan seawal minggu kedua kelahiran. Mengikut kajian, hasil yang terbaik dicapai apabila ia dilakukan dalam tempoh 9 bulan pertama kelahiran.
Proses rawatan melibatkan pembetulan 4 abnormaliti berbeza mengikut turutan khusus yang mudah diingat sebagai CAVE iaitu Pembetulan CavusAdductionVarus dan Equinus. Kaki bayi akan dipasang simen bagi membetulkan kaki bayi secara berperingkat. Simen ini akan ditukar setiap minggu sehingga kaki kembali ke bentuk yang normal. Kebiasaaanya 6 minggu diperlukan bagi membetulkan 3 abnormaliti pertama. Bagi membetulkan Equinus (kaki melunjur ke depan seperti meninjik), adakalanya prosedur tenotomy perlu dilakukan,

Tenotomy
Ia adalah prosedur perlu dilakukan bagi melonggarkan sedikit urat keting (tendon Achilles) yang tegang. Di Malaysia, kebiasaannya ia dilakukan secara bius penuh dan sedikit toresan (5mm) akan dibuat pada bahagian belakang urat keting bagi membolehkan kaki dibengkokkan ke bentuk yang normal. Selepas tenotomy, simen akhir akan dipasangkan selama 3 minggu.

Dennis-Brown Shoe dan Bracing
Sebaik sahaja simen terakhir dibuka, kedua-dua kaki bayi akan dipasangkan brace bagi memastikan pembetulan kaki ini kekal sehingga tulang dan otot bayi matang sepenuhnya. Brace ini terdiri daripada sepasang kasut khas yang dikenali sebagai kasut Dennis-Brown dan sebatang bar yang memegang kedua-dua kasut ini. Untuk 3 bulan pertama, ia perlu dipakai selama 24 jam setiap hari. Selepas tempoh ini, tempoh masa dikurangkan kepada 16 jam sehari sehingga kanak-kanak ini berusia antara 3 hingga 4 tahun. Kebiasaannya 12 jam pada waktu malam, dan 2 ke 4 jam pada siang hari. Sememangnya ianya sesuatu yang merenyahkan ibubapa dan dan meresahkan bayi anda. Namun kerjasama dan komitmen padu kedua ibubapa amatlah diperlukan bagi memastikan rawatan ini berjaya. Ia adalah pengorbanan yang berbaloi!

Dr Mahyuddin

Artikel ini telah disiarkan di website Malaysia Medical Gazette pada 24/12/2014 dan juga di Akhbar Berita Harian bertarikh 22/11/2014.

No comments:

Post a Comment