Saturday, January 23, 2016

Anterior Cruciate Ligament (ACL) Putus? Boleh ke Sembuh hanya dengan menyapu produk sahaja?

INI ADALAH POST YANG SAYA SHARE DI AKAUN DAN PAGE FACEBOOK SAYA SEMALAM BAGI MENJELASKAN APA YANG BERLAKU KEPADA LIGAMENT ANTERIOR CRUCIATE LIGAMENT (ACL) YANG PUTUS DAN PERKARA YANG BERKAITAN 
************************************************************************************************************************

•NO MORE ACL!
•NO MORE OPERATE!
•ACL? BUAT TAK TAU JER!
•JIMAT DUIT, JIMAT MASA & AKHIRNYA BOLEH MAIN BOLA SEMULA

Begitulah gahnya bunyi iklan produk di Facebook. Disertai dengan testimoni beberapa pengguna.
Pada mulanya saya tidak mahu komen apa-apa mengenai perkara ini walaupun diminta oleh beberapa rakan doktor kerana tidak mahu dituduh sebagai mengganggu periuk nasi atau bisnes orang, dan mungkin juga sebagai seorang yang berdengki dengan perniagaan orang lain.

Namun, apabila penyebaran maklumat yang salah mengenai ACL tear semakin berleluasa hingga ke tahap mengambil kesempatan di atas masalah kesihatan orang lain, saya rasa berdosa saya sebagai Doktor Pakar Ortopedik yang merawat pesakit ACL di hospital saya, jika saya tidak menyampaikan maklumat yang benar. Saya WAJIB memberi maklumat kepada masyarakat mengenai masalah ACL yang putus.

ACL adalah satu satu daripada ligamen yang menstabilkan lutut kita. ACL boleh putus ketika berlakunya pergerakan berpusing mengejut (sudden pivoting movement) pada kaki yang terpacak di tanah (implanted foot) semasa kita bermain. Ia amat kerap berlaku semasa permainan futsal, bolasepak, netball dan badminton. Paling tipikal ialah pergerakan mengejut ini disertai dengan bunyi "Pop", lutut terus membengkak dengan cepatnya dan pesakit tidak mampu meneruskan permainan.

Anatomi lutut manusia dan ligamen ACL yang putus (Gambar kecil)

Jika ACL kita putus, tulang betis (tibia) kita akan terasa longgar dan mudah bergerak ke arah hadapan ketika berjalan. Kita juga akan mengalami kesukaran untuk menuruni tangga.

Disebabkan anatomi lutut kita, ACL yang putus tidak akan mampu untuk sembuh dan bertaut kembali. Ini adalah kerana cecair pelincir lutut (synovial fluid) menghalang pembentukan hematoma (darah beku) yang merupakan keperluan utama dalam proses penyembuhan mana-mana tisu badan manusia. Bila hematoma tak boleh terbentuk, ACL yang putus tak mungkin boleh bersambung dengan sendirinya.

Kesakitan ini akan hilang dalam masa 1-2 minggu, bengkak pula akan hilang dalam 4-6 minggu apabila anda berehat dan tuam ais pada lutut anda. Tidak kiralah anda sapu minyak angin, minyak gamat, minyak Yu Yee, minyak cap kapak, ubat sapu hospital, senseh ATAU anda tak sapu apa-apa pun, bengkak dan sakit lutut ni tetap akan hilang dan anda tetap boleh bermain bolasepak kembali. Bengkak lutut surut bukan sebab pakai produk yang diiklankan ni.

Masalahnya, lutut yang putus ACL ni terasa tidak stabil dan longgar ketika berjalan, apatah lagi ketika bersukan. Lama-kelamaan, lutut yang longgar ini akan menyebabkan kerosakan pada pelapik sendi (meniskus) dan permukaan sendi (chondral) anda akibat geseran yang berterusan pada permukaan sendi lutut yang tidak sekata.

Jika anda pernah cedera dan lutut anda longgar, datang lah jumpa doktor di hospital bagi memastikan diagnosis. Tidak semua pesakit ACL tear perlukan pembedahan. ACL yang putus separa (kurang 50%) boleh dirawat dengan fisioterapi terutamanya bagi pesakit yang low sport demand, bekerja di pejabat dan hidup dengan sedentary lifestyle. Namun, bagi pesakit yang putus sepenuhnya ACL atau lebih 50% dan aktif bersukan, kami akan menyarankan pembedahan ACL Reconstruction bagi menstabilkan kembali sendi lutut, serta mengelakkan komplikasi kerosakan meniskus, permukaan sendi serta Osteoarthritis.

Apabila saya melihat kandungan ubat sapu tersebut, ia memang boleh melegakan kesakitan. Namun, jika ada ubat sapu yang mendakwa ia mampu menyembuhkan ACL yang putus, itu adalah satu dakwaan yang amat TIDAK bertanggungjawab. Pada saya, ia lebih kepada bisnes untuk menjual produk ini. Kalau betul pun nak jual produk, tolong nyatakan yang benar sahaja dan janganlah mengambil kesempatan atas masalah kesihatan orang lain.

Jika benar ACL boleh bersambung kembali dan lutut anda kembali stabil seperti sebelum sebelum kecederaan, harap dapat datang jumpa saya kerana saya pun ingin rujuk ramai pesakit kepada anda. Tak perlu lah saya buat pembedahan lagi. Saya pun nak daftar jadi ejen jual produk ni!!

Dr Mahyudin Mohamed
Pakar Ortopedik HOSHAS Temerloh
22/01/2016

‪#‎Please‬ Feel Free to SHARE and spread the info. TQ