Saturday, March 2, 2013

Gas Gangrene - Kelewatan yang Membawa kepada Kematian

Assalamualaikum wbt,


2 hari lepas aku telah menghadiri satu mesyuarat Mortality yang diadakan oleh Jabatan Ortopedik Hospital Lipis. Ia adalah bagi membincangkan satu kes kematian pesakit kami yang berlaku pada bulan lepas (Januari 2013). Mesyuarat ini kami adakan secara berkala, sekali sebulan bagi membincangkan setiap kes yang meninggal dunia dan juga morbidity yang berlaku. Ia amat penting bagi memastikan rawatan yang kami beri adalah yang optimum serta menentukan langkah-langkah tambahan yang boleh diambil bagi meningkatkan lagi perkhidmatan kepada pesakit.


3 minggu lalu...

Ketika sedang duduk di kauter jururawat dewan bedah Hospital Kuala Lipis pagi tadi, aku menerima satu panggilan telefon.

"Hello, Mr. Mahyuddin, I need to inform one case to you". Kecil aje suara di corong telefon.

"Who is this?" AKu meminta kepastian.

"Ini Wong, dari casualty". Oh, Wong rupanya. Dr. Wong adalah pegawai perubatan yang oncall di bahagian kecemasan hari ni. Beliau ialah isteri kepada pegawai perubatan di Unit Ortopedik, Dr. Keng.

"Yes Wong, anything?"

"Hmmm...I got this 78 years old lady with 3 weeks history of blackish discolouration of her right 4th toe. She comes today with worsening of the condition and crepitus of her leg. On xray, there is gas shadow. I think this is Gas Gangrene." Panjang cerita Dr. Wong.

"Gas gangrene???" Aku bertanya separuh menjerit. "Patient septic ke? Any fever? How's the blood investigation? Total white?" Aku bertanya bertalu-talu.

"Patient is in sepsis, confused. GCS 11. Currently no documented fever, but total white is 56". Total white ialah jumlah sel darah putih yang menggambarkan tahap jangkitan kuman dalam darah. Biasanya ia adalah kurang dari 10. 56 adalah teramat TINGGI!!

"Gas shadow sampai level mana?" Aku meminta kepastian.

"Sampai knee level, Mr. Mahyuddin"

Ini paling minimum pun perlu Below Knee Amputation (BKA), but most probably end up with Above Knee Amputation (AKA).  BKA adalah memotong kaki pada paras bawah lutut manakala AKA adalah di atas paras lutut.


Dr. Sarah, pegawai perubatan bius yang sedang melihat pesakit di depan ku berpaling. "ICU bed occupied, kalau nak guna nak kena stabilise and transfer out patient tu dulu". Beliau hanya tersenyum. Beliau merujuk kepada seorang pesakit wanita yang sedang berada di dalam ICU. Beliau memang seorang yang sentiasa tenang ketika bekerja. Agaknya beliau overheard conversation aku dengan Dr Wong.


Aku mengarahkan nenek tu dimasukkan dahulu ke wad untuk menstabilkan keadaan kesihatannya dan juga proses persediaan pembedahan. 


Selesai pembedahan pesakit di dewan bedah aku bergegas ke wad. Kelihatan makcik tua sedang terbaring dikatil di 6A. Saudara-mara berkerumun di sekeliling katilnya. Aku ke katil makcik sambil ditemani Dr. Aizat, pegawai perubatan yang oncall di wad.


"Nenek... nenek..." aku memanggil, namun tiada respon. Hmmm..."saya tengok kaki nenek sikit yer...?" Aku mengangkat kain yang menutupi kaki kanan nenek. Dah berbau busuk. 2 jari kaki beliau sudah kehitaman. Kelihatan gelembung-gelembung kulit berisi air pada bahagian tepi dan belakang betis makcik. Warna kemerah-merahan dan kebiru-biruan menjalar ke paras pelipat lutut. Kakinya panas.


"Ni dah lama la simpan kat rumah ni...aku hanya mengeluh"


Aku mengarahkan jururawat mengumpulkan ahli keluarga nenek di katil. Senang cakap satu kali, kumpul semuanya. Kalau ada apa2 soalan terus boleh tanya pada masa tu. Macam family conference.


Aku terangkan kepada mereka semua keadaan makcik yang begitu kritikal. Jangkitan kuman di kakinya sudah merebak ke dalam sistem peredaran darah menyebabkan sepsis. Sepsis ini sekiranya tiada rawatan akan membawa kepada kematian. Sekiranya pesakit cepat mendapatkan rawatan, dimana jangkitan asal kuman dapat dihapuskan secara pembedahan dan juga antibiotik, nyawa pesakit mungkin boleh diselamatkan lagi.


Aku memanggil suami nenek untuk berbicara secara berdua. "Berapa lama dah kaki nenek ni Tok?" Aku ingin mengetahui daripada mulut si suami sendiri.


"Dah 3 minggu doktor. Kami sebenarnya bawak jumpa bomoh dulu, yer la...kita ikhtiar kan. Buat air tawar, baca yaasin kat rumah. Kami ikhtiar cara kampung dulu. Nampak tak jalan baru kami bawak datang hospital ni..." Panjang lebar Atok bercerita kat aku.


Ini memang masalah tipikal masyarakat kita kat Malaysia ni. Cuba cara kampung, pastu lewat datang ke hospital. Bila sampai hospital mereka seolah-olah mengharapkan MAGIC. tadaaa! Terus nak sembuh. Kebanyakan kes yang datang lewat ke hospital akan datang dengan keadaan yang amat teruk dan hampir sukar diselamatkan lagi.


Bagi kes-kes Ortopedik ni, kebanyakkannya adalah kes-kes diabetic foot ulcer atau ulcer / luka kencing manis dan juga Necrotising fasciitis / Gas gangrene. Kes Necrotising fasciitis dan Gas Gangrene mempunya mortality rate yang amat tinggi sekiranya pesakit lambat menerima rawatan.


Kebanyakan pesakit tidak mahu ke hospital kerana khuatir kaki akan dipotong. Mereka tidak sedar bahawa dengan datang lambat ke hospital itulah lagi akan memungkinkan kaki mereka dipotong. "Asal pergi hospital aje, potong...asal pergi aje, potong..." begitu lah kata mereka...macam biasa dengar kan?


Yang pasti, kalau boleh, kami pun tak mau potong kaki mereka ni. Kami bukannya suka sangat nak potong. Kami potong kerana bahagian kaki tu sudah mati dan berbau busuk. Kami potong kerana nak menyelamatkan nyawa mereka. Tempat asal usul kuman di dalam badan pesakit perlu dibuang, barulah kita ada peluang untuk menghapuskan keseluruhan kuman dalam peredaran darah dengan antibiotik. Saya bukannya anti perubatan kampung / tradisional secara total, cuma yang saya minta, sambil buat rawatan tradisional tu, datang la jugak ke hospital. Setidak-tidaknya dapat input dari kedua-dua pihak. Itu adalah lebih baik kan?


"Nanti lah saya bincang dulu dengan anak2 saya yer doktor. Nak potong kaki ni bukan perkara main-main" Atok memberitahu aku setelah aku memaklumkan rancangan untuk memotong kaki Nenek pada paras atas lutut.


"Baik Atok, tapi jangan lama-lama yer. Saya risau keadaan nenek ni. Kita nak kena cepat."


Contoh kaki dengan Necrotising fasciitis (ini bukan kaki pesakit ini). Kelihatan bahagian kulit mata (necrosis) dan mottled.


Keesokan harinya keadaan nenek semakin kritikal. Fungsi buah pinggang juga semakin teruk. Dr. Sarah, iaitu pegawai perubatan bius, setelah berbincang dengan Pakar Bius merancang untuk memasukkan nenek ke Unit Rawatan Rapi bagi mengoptimumkan keadaan nenek sebelum pembedahan dapat dijalankan.


Semasa proses persiapan perpindahan nenek dibuat, tiba-tiba tekanan darah nenek turun secara mendadak. Nenek juga tidak sedarkan diri lagi. Nyatalah bahawa kami sudah terlambat. Nenek menghembuskan nafasnya yang terakhir pagi itu. Al-Fatihah.

2 comments:

  1. Assalamualaikum dr.

    sy nk tanya, boleh ke torn ligament in knee area tumbuh semula naturally ? without undergoing operation. Thank you.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Dr.

    Saya baru tahu mengenai Gas Gangrane setelah rakan saya baru berusia 42 tahun admit di GHKL. Beliau juga adalah diabetic patient. Setelah saya melawatnya dan berbual dengannya, saya dapati penyakit ini begitu cepat merebak. Saya ingin tahu, berapa cepatkah penyakit ini merebak dan bolehkah dia dikawal selepas pemotongan bahagian yang gangrane.

    ReplyDelete