Saturday, August 31, 2013

Tangan anda kebas? Anda mungkin menghidap Carpal Tunnel Syndrome



Sindrom 'Carpal Tunnel'
 
Pernahkah anda terbangun malam atau awal pagi sekitar jam 2 atau 3 pagi akibat rasa tidak selesa atau kebas pada bahagian tangan? Anda akan mengoyang-goyangkan tangan sehingga rasa kebas ini berkurangan? Atau anda merasa kebas di bahagian tangan iaitu pada ibu jari, jari telunjuk dan sebahagian daripada jari manis? Kalau jawapan anda ialah “ya”, anda mungkin mempunyai masalah Carpal Tunnel Syndrome.

Dalam kes-kes yang kronik, otot pada pangkal ibu jari akan mengecut (thenar muscle atrophy’) and kekuatan ibu jari juga akan merosot (abductor muscle weakness). Ini menyebabkan pesakit mungkin mengalami masalah untuk menggunakan tangan di mana sudu, garpu, senduk dan sebagainya jatuh semasa pesakit menggunakannya.

Carpal Tunnel Syndrome adalah satu keadaan dimana berlaku tekanan kepada saraf Median (‘Median Nerve’) di pergelangan tangan seseorang. Ia dua kali ganda lebih kerap berlaku kepada wanita berbanding lelaki dan dalam 80 peratus kes, pesakit berusia lebih daripada 40 tahun. 

Ia boleh disebabkan oleh tekanan daripada persekitaran luar tangan atau daripada dalam terowong pergelangan tangan (‘Carpal Tunnel’) itu sendiri. Antara keadaan yang dikaitkan dengan sindrom ini termasuk: 


  1. Kepatahan yang berlaku dipergelangan tangan. Ia termasuk kepatahan di tulang ‘Radius’ dan juga tulang-tulang kecil ‘Carpal bones’ yang membentuk terowong pergelangan tangan
  2. Semen atau plaster yang dipasang bagi merawat kepatahan juga boleh menyebabkan keadaan ini sekiranya ia terlalu ketat
  3. Sendi pergelangan tangan yang terseliuh juga boleh menyebabkan tekanan kepada saraf ini.   
  4. Sebarang ketumbuhan di dalam ‘carpal tunnel’ akan menyempitkan ruang di dalam terowong ini dan menekan saraf
  5. Pesakit yang mengandung
  6. Proses penuaan yang menyebabkan ‘Osteoarthritis’
  7. Masalah hormone pembesaran (‘Growth hormone’)
  8. Masalah penyakit metabolic seperti kencing manis dan gout
  9. Pelbagai penyakit dari kumpulan ‘Connective tissue disorders’ seperti Amyloidosis dan Haemochromatosis
  10. Idiopathic – tiada sebab yang diketahui


Rawatan
Rawatan bagi keadaan ini biasanya dimulakan dengan pemakaian ‘night splint’ iaitu sejenis orthosis daripada jenis thermoplastic bagi mengelakkan pengelangan tangan daripada terbengkok secara tidak sedar semasa pesakit tidur.

Sekiranya kita lihat, kebiasaannya pergelangan tangan seseorang akan berada dalam keadaan bengkok ke dalam semasa kita tidur, dan ini akan menyebabkan tekanan pada saraf bertambah serius. Cuba anda perhatikan tangan anak-anak atau pasangan anda malam nanti!

Pesakit juga akan dinasihatkan supaya menjalani rawatan fisioterapi bagi mengurangkan radang atau kebengkakan di kawasan terlibat.  

Pembedahan mungkin perlu dilakukan apabila splinting dan fisioterapi tidak berjaya atau terdapat ketumbuhan di dalam pergelangan tangan pesakit. Ia melibatkan prosedur dimana pesakit atau diberikan ubat bius, dan membuat luka pada bahagian pergelangan tangan pesakit bagi memotong ‘transver carpal ligament’ dan seterusnya membebaskan saraf ini.

Kini terdapat juga kaedah endoskopik dimana pembedahan dilakukan dengan menggunakan alat endoskopi dan kamera. Ia hanya melibatkan 2 atau 3 luka kecil bersaiz 1 cm bagi membebaskan saraf ini. Namun ia hanya dilakukan di pusat perubatan tertentu sahaja di Malaysia.

Harap dapat ‘LIKE’ dan ‘SHARE’ maklumat ini. Moga ia menjadi ilmu yang bermanfaat untuk dikongsikan. Terima kasih.

Tuesday, August 20, 2013

Tabiat Mencangkung Di Tandas - Risiko mendapat 'Toilet Bowl Injury'




Tahukah anda kenapa di kebanyakkan tandas awam selalu terdapat papan tanda yang menyuruh kita duduk dimangkuk tandas apabila membuang air dan bukannya bercangkung?

Pelbagai Cara Membuang Air di Tandas...

Anda tahu? Mungkin anda akan menjawab, “sebab mereka tidak mahu mangkuk tandas kotor dengan kesan selipar atau kasut pengguna”.... Betul kan?

Itu adalah logik disebalik arahan tersebut. Masalah kita ialah kebanyakan dari kita dilatih dari kecil untuk mencangkung dimangkuk tandas. Kita juga tidak mahu duduk dimangkuk tandas kerana kita merasa jijik  kerana mangkuk tandas dicemari air kencing dan kesan kasut pengguna yang mencangkung sebelum itu.

Amalan yang kita semua patut amalkan semasa menggunakan tandas ialah:


  • Membaca doa sebelum masuk ke dalam tandas
  • Melangkah masuk dengan kaki kiri

  •  Duduk ketika membuang air di tandas (dan bukannya mencangkung)

  • Bersihkan mangkuk tandas bagi pengguna seterusnya

  • Pastikan anda pam atau jirus tandas selepas menggunakannya
  • Membaca doa ketika keluar dari tandas
  • Keluar dengan didahului dengan kaki kanan


Kita patut mementingkan pengguna selepas kita. Kita pasti tidak suka sekiranya kita masuk ke dalam tandas dan mendapati terdapat najis yang tidak di pam atau air kecing pada mangkuk tandas bukan?

Namun, tahukah anda, terdapat kecederaan yang diberi nama khusus sebagai ‘Kecederaan Mangkuk Tandas’ atau ‘Toilet Bowl Injury’?

Ia adalah kecederaan yang agak kerap berlaku. Mencangkung diatas mangkuk tandas boleh menyebabkan mangkuk tandas yang dibuat daripada seramik ini pecah dan menyebabkan luka dibahagian belakang pergelangan kaki. Luka ini juga biasanya disertai dengan kecederaan pada Tendon Achilles (urat otot belakang kaki).

Tendon Achilles ini adalah antara tendon yang terkuat pada badan kita. Ia berfungsi bagi menggerakkan sendi buku lali terutamanya semasa proses berjalan iaitu tujahan pergelangan kaki ke belakang. Ia paling penting kepada atlit terutamanya atlit acara balapan iaitu berjalan kaki, larian pecut dan maraton.

Sekiranya putus, ia menyebabkan pergerakan pada pergelangan buku lali menjadi lemah dan terbatas. Terdapat juga risiko kecederaan pada saraf dan salur darah. Tendon Achilles ini perlu dijahit dan disambung semula sekiranya putus. Doktor Ortopedik akan menjahit dan membaikinya dengan menggunakan teknik khusus bagi tendon ini. Kaki pesakit perlu disemen selama 6 minggu bagi memastikan proses penyembuhan berlaku dengan sempurna.

Mari kita sama2 menggunakan tandas dengan cara yang betul.

Saturday, July 20, 2013

Heat Stroke: Kematian kanak-kanak di dalam kereta yang ditinggalkan

Malaysia digemparkan dengan kematian seorang kanak-kanak berusia 3 tahun semalam. Kanak-kanak malang tersebut terperangkap di dalam kereta ibunya yang juga seorang guru yang bergegas ke mesyuarat di sekolah beliau petang semalam, meninggalkan mangsa yang sedang tidur di kerusi belakang kereta. Ketika dijumpai 5 jam kemudian, kanak-kanak malang tersebut telah pun meninggal dunia. Takziah buat keluarga mangsa. Al-Faatihah.

Apa yang saya nak kongsikan di sini ialah apa yang mungkin menyebabkan kematian kanak-kanak tersebut berlaku dan langkah-langkah yang boleh kita ambil bagi mengelakkan ia terjadi kepada kita atau keluarga kita.

Kajian menunjukkan bahawa suhu dalam kereta akan meningkat secara mendadak apabila kereta dibiarkan di bawah panas matahari. Ia boleh meningkat antara 10 ke 20 darjah dalam masa 20 minit sahaja. Keadaan ini akan menyebabkan kepanasan melampau kepada bayi atau kanak-kanak yang terperangkap di dalam kereta. Suhu dalaman (core temperature) badan akan meningkat secara mendadak sehingga 41 darjah celsius.

Berikut kenaikan suhu dalam kereta yang berlaku:
•    10 minutes ~ 19 deg F (Farenheit)
•    20 minutes ~ 29 deg F
•    30 minutes ~ 34 deg F
•    60 minutes ~ 43 deg F
•    1 to 2 hours ~ 45-50 deg F
Sumber: http://www.ggweather.com/heat/

Kepanasan ini akan menyebabkan proses perpeluhan berlaku (proses ‘normal regulation’ bagi menyejukkan badan kita) yang seterusnya menyebabkan kekurangan air dalam badan (dehydration), sawan, kekeliruan (confusion), kerosakan otak dan organ dalam badan dan seterusnya kematian. Ia dikenali sebagai ‘HEAT STROKE’.

Kematian juga boleh disebabkan oleh lemas (suffocation) kerana kekurangan udara (oksigen) akibat tingkap ditutup rapat. Membuka tingkap sekadar beberapa inci atau membiarkan penghawa dingin (aircond) dalam keadaan hidup juga tidak dapat memastikan keadaan ini tidak berlaku.

Heat Stroke berlaku di seluruh dunia. Data dari Amerika Syarikat menunjukkan 33 kes kematian pada tahun 2012 dan 22 kes pada tahun 2013 (setakat ini). Sejak tahun 1998 terdapat 583 kematian akibat Heat Stroke bagi kanak-kanak atau bayi yang ditinggalkan di dalam kereta.

Antara langkah-langkah yang boleh kita ambil bagi memastikan kita tidak lupa kepada anak atau bayi kita yang sedang tidur di kerusi belakang ialah:

1.    Meletakkan beg kerja atau fail penting kita di tempat duduk belakang. Kita pasti akan mengambil barang-barang ini apabila keluar dari kereta.

2.    Meletakkan tanda ‘Baby On Board’ atau apa-apa barangan bayi di stering, dashboard atau cermin depan kereta

3.    Menjadikan memeriksa kereta sebagai rutin check-list sebagaimana seperti kita hendak meninggalkan rumah. Ketika hendak meninggalkan rumah kita akan memastikan pintu semuanya berkunci, suiz elektrik dan paip air ditutup dan sebagainya.

4.    Bagi kenderaan awam (seperti van sekolah), perlu melakukan ‘head-count’ atau perlu ada senarai nama kanak-kanak yang menaiki van tersebut.

5.    Pastikan kunci kereta sentiasa ditempat selamat dan anak-anak tidak dapat mengambilnya. Ada kes dimana kanak-kanak ini masuk ke dalam kereta tanpa disedari.

6.    Hubungi pihak berkuasa sekiranya anda terlihat kanak-kanak keseorangan di dalam kereta yang ditinggalkan.

7.    NAMUN, YANG PALING UTAMA DAN TERBAIK IALAH, JANGAN SESEKALI MENINGGALKAN ANAK-ANAK KITA KESEORANGAN DI DALAM KERETA

Harap dapat ‘LIKE’ dan ‘SHARE’ maklumat ini. Moga ia dapat menjadi asbab mengelakkan perkara ini berulang. Terima kasih.

Dr. Mahyuddin

Wednesday, July 17, 2013

PERKARA YANG TIDAK MEMBATALKAN PUASA DALAM BIDANG PERUBATAN


Assalamualaikum,

Sempena Bulan Ramadhan yang mulia ini, saya ingin berkongsi senarai perkara-perkara yang berkaitan perubatan yang tidak membatalkan puasa.

Perkara-perkara ini amat penting kerana ia sering menimbulkan persoalan, bukan sahaja oleh pesakit, tetapi juga oleh pengamal perubatan itu sendiri.

Senarai ini telah disediakan oleh Dr. Zakimi Abdullah, berdasarkan IOMS (Islamic Organization for Medical Sciences), The Akademi Fiqh di Jeddah dan WHO, Figh As-sunnah (Sayyid as-Sabiq), dan fatwa dikeluarkan oleh Yusuf Al-Qaradhawi bersama Majlis Fatwa Eropah)




PERKARA YANG TIDAK MEMBATALKAN PUASA DALAM BIDANG PERUBATAN
(baca dan kongsi / read and share)

1) Ubat titik mata dan telinga, cuci telinga (earwash)
2) Ubat GTN yang diletakkan di bawah lidah dengan syarat ia tidak ditelan
3) Memasukkan pessary, ovules ke dalam kemaluan wanita (vagina), cuci vagina, memasukkan alat speculum kedalam vagina, atau memasukkan jari (oleh doktor/bidan) untuk pemeriksaan (cth periksa jalan untuk bersalin)
4) Memasukkan alat urethroscope ataupun ubatan melalui saluran kencing ataupun irigasi pundi kencing.
5) Menggerudi, mencabut, mencuci gigi, menggunakan miswak (kayu sugi), dengan syarat ia tidak ditelan
6) Injeksi (cucuk) melalui kulit, kedalam otot (intramuscular), sendi (intraarticular), kedalam pembuluh darah (intravenous) kecuali jika bahan yang dicucuk itu mempunyai zat.
7) Menderma atau menerima darah Menerima oksigen atau gas untuk bius
9) Menerima semua bahan yang diserap kedalam badan melalui kulit, seperti krim sapuan, minyak dan sebagainya.
10) Mengambil darah untuk pemeriksaan
11) Memasukkan tiub (catheter) untuk pemeriksaan
12) Memasukkan tiub melalui mulut atau dubur (Endoscopy) untuk pemeriksaan (diagnostic) atau rawatan (intervention).
13) Mencuci mulut, kumur-kumur, spray mulut, dengan syarat ia tidak ditelan
14) Pemeriksaan dalam rahim (Hysteroscopy) atau memasukkan alat dalam rahim (intrauterine device).
15) Mengambil sel dari hati atau organ lain (Biopsy).
16) Menggunakan ubat titik hidung, spray hidung atau inhaler (untuk asthma)
17) Injeksi pada dubur, pemeriksaan dubur (anoscopes) ataupun pemeriksaan dubur menggunakan jari
18) Pembedahan yang memerlukan bius penuh (general anaesthesia), jika pesakit mahu berpuasa.
19) Haemodialisis atau peritoneal dialysis

Rujukan:
IOMS (Islamic Organization for Medical Sciences), The Akademi Fiqh di Jeddah dan WHO, Figh As-sunnah (Sayyid as-Sabiq), dan fatwa dikeluarkan oleh Yusuf Al-Qaradhawi bersama Majlis Fatwa Eropah)

Disediakan Oleh:
Dr Ahmad Zakimi Abdullah

Sekiranya ada perlu attachment dalam bentuk 'Word document' anda boleh PM email anda kepada saya di drmahyuddin@gmail.com atau drahmadmahyuddin@yahoo.com. Nanti saya akan emailkan kepada anda secepat mungkin bagi kita sama2 berkongsi perkara ini.

Monday, July 15, 2013

Aku dilantik menjadi EXCO Terengganu!

4 Ramadhan 1434H (Sabtu 13/7/2013)
 
Suara 1: Dato', Dato' diminta hadir ke Istana Maziah esok.

Aku: Apa urusan saya nak kena ke istana.

Suara 1: Dato' dilantik sebagai EXCO kerajaan Negeri yang baru. Dato' Ahmad Said dah serah nama Dato' kepada Tuanku Sultan.

Aku: Esok ke majlis tu? Tak sempat saya nak uruskan banyak perkara kat pejabat saya ni.

Suara 1: Dato', PA Dato' akan uruskan semua perkara tu.

 
Hati ini sudah berbunga-bunga. Tak sabar nak bgtau Aboh mengenai perkara ni. "Mesti Aboh happy". Ada juga anak yg mengikut jejak langkah Aboh.

Suara 2: "Din, bangun! Sahur, dah pukul 5 ni! (Terngiang-ngiang suara Ma mengejutkan aku bangun bersahur).
 
Rupa-rupanya aku bermimpi dilantik menjadi EXCO Kerajaan Negeri Terengganu. Hebat betul mimpi aku kali ni... Siap dah jadi Dato' dan ada PA sendiri untuk uruskan upacara angkat sumpah tu hahaha! 
LOL

Friday, June 21, 2013

Bumi Kenyalang yang Mengagumkan

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Sahabat2 pernah ke Bumi Kenyalang? Baru2 ni kami sekeluarga menjejakkan kaki buat kali pertama ke sana. Bukan suka2 pergi, kebetulan saya ada kursus tahunan Ortopedik, Malaysia Orthopaedic Association (MOA) yang diadakan di sana tahun ni.

Kali ni saya nak berkongsi pengalaman saya dan keluarga berkelana ke sana...

Kami ke sana selama 4 hari 3 malam, dari hari Khamis, 6 Jun hingga Ahad, 9 Jun 2013. Beberapa hari sebelum saya berlepas, saya bertanya di laman tweeter saya mengenai, "apa yang menarik dan patut saya cari di Sarawak?". Beberapa rakat tweeter saya mencadangkan perkara2 ni:-

  • Mee Kolok
  • Ikan Terubuk Masin
  • Kek Lapis
  • Taman Budaya Sarawak

Sebelum ni saya cuma tau pasal Kek Lapis aje yang sinonim dengan Sarawak, di samping karpet atau tikar Sarawak. Mee Kolok? Apa tu?

Sampai aje ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, saya segera ke Kaunter Informasi. Wah, banyaknya pamphlet! Pegawai penerangan sangat2 ramah dan baik hati. Sempat saya minta beberapa cadangan tempat menarik yang saya boleh pergi sepanjang tempoh saya di Kuching. Beliau mengeluarkan sekeping kertas yang tertulis ringkasan tempat2 menarik di Kuching dan kawasan sekitarnya, jarak perjalanan ke tempat itu, masa buka dan tutup, transport dan juga bayaran yang dikenakan sekiranya ke sana. Fantastic!!!

Tiba2 aku mendengar suara berbisik "Dr. Mahyudddin...awak pergi kursus yer kat Kuching ni, bukannya nak gi jalan2...ingat tu!" Tapi ada juga suara yang berkata "Apa salahnya Mahyuddin, dah sampai Kuching ni, bila lagi nak jalan2...bak kata pepatah, sambil menyelam minum air!"


Sampai aje kat airport, budak2 3 orang ni dapat pulak bergambar dengan gadis Kadazan-Dusun ni...bertuah betul la... rupa-rupanya ada promosi sambutan Hari Gawai untuk pelancong asing yang tiba di airport sekarang ni...


Kami menginap di Riverside Hotel. Rezeki kami, setibanya di hotel, semasa check-in, saya diberitahu bilik kami di upgrade ke Executive Deluxe Room, tingkat 16. AlhamdulilLah!

Kursus saya diadakan di 2 hotel yang berbeza, Riverside Hotel dan Grand Margerita Hotel. Hotel ini terletak bertentangan antara satu sama lain. Just across the road. Grand Margerita Hotel terletak di pesisir sungai Sarawak, di sisi Kuching Waterfront yang terkenal.

Kalau anda meminati 'River Cruise', terdapat 2 sesi menyusuri Sungai Sarawak iaitu pagi dan petang (sunset). Kapal yang digunakan agak besar dan ada jaket keselamatan.


Kek Lapis
Kalau nak beli Kek Lapis, boleh menyeberang Sungai Sarawak daripada Kuching Waterfront ni dengan menaiki bot. Cuma perlu bayar 50 sen aje untuk ke seberang. Cuma yang kurang best, takde jaket keselamatan disediakan. 

Di seberang sungai, ada banyak kedai2 Kek Lapis, pelbagai warna dan rasa. Kreatif sungguh pengusaha kek lapis ni!

Tugu Kuching berhadapan dengan Riverside Hotel dan Grand Margerita Hotel. Ramai pelancong2 yang 'snap' gambar kenangan kat sini.

Kolam renang di Riverside Hotel agak luas dan selesa. Ada 2 bahagian berbeza bagi kanak2 dan orang dewasa. Bagi kolam dewasa, airnya pada paras dada saya. Tiada lifeguard yang bertugas disediakan. Semuanya atas tanggungjawab sendiri. Tuala dan pelampung percuma disediakan.

Masjid Kuching
Pada hari kedua kami ke sana, kami sempat menunaikan Solat Jumaat di Masjid Bandar Kuching. Masjid ini mempunyai kubah bewarna keemasan dan terletak berhadapan dengan Sungai Sarawak.

Hotel Riverside menyediakan perkhidmatan shuttle bagi penginap hotel yang beragama Islam untuk ke masjid.

Ni kawan baik saya, Dr. Rusdi yang sekarang agak glamer kerana membuat permbedahan ke atas Pelakon Farid Kamil baru2 ni. Beliau juga sama2 datang ke Sarawak bagi menghadiri kursus tahunan kami.


Zoo Kuching 
Zoo Kuching terletak di dalam bangunan pejabat Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU). Ia terletak lebih kurang 20 minit perjalanan dari Bandaraya Kuching. Ia dikatakan sebagai 'the best museum in southeast Asia'.

Tiada kucing hidup di muzium ni sebenarnya. Yang ada cuma patung2 kucing, gambar, setem, cenderahati, sejarah kehidupan kucing di Malaysia (di Sarawak khasnya), Mesir dan Jepun. Garfield pun ada jugak... masuk percuma. tak perlu bayar apa2 melainkan sekiranya kita nak bawa masuk video camera, kamera atau telefon bimbit berkamera. Kena bayar RM3-5 untuk setiap satu. Kalau tak nak bawak masuk, boleh tinggal di kaunter masuk, ada pegawai yang jaga telefon dan kamera kita.

Ia dibuka dari 9 pagi ke 5 petang.

 
Pintu masuk ke Muzium Kuching. Muzium ini terletak di dalam bangunan pejabat DBKU.


Kompleks Kubah Ria 
Kami ke sini kerana nak cari tempat berehat dan menjamu selera. Ia kompleks yang agak baru. Ada banyak kedai makan, kedai cenderahati, kedai Kek Lapis, kedai Terubok Masin, kedai buku dan sebagainya.

Komplek Kubah Ria

Wah! Rezeki saya rupanya nak rasa Mee Kolok. Yang jadi nak rasa tu sebab nama dia pelik. Kat negeri saya Terengganu biasa makan sayur Kolok, Mee Kolok memang dok pernah jumpa lagi.


Inilah rupanya Mee Kolok. rasanya hanya ada di Sarawak. Kalau ikut pengamatan saya, ianya seakan-akan mee sup, tetapi menggunakan Yee Mee yang menjadikannya lebih kental. Dicampur sekali dengan hirisan daging. Sup ditambah dengan banyak tauge ('ccammboh' kalu ikut loghat org Terengganu). Sedap!!!

Taman Budaya Sarawak (Sarawak Cultural Village)

Taman Budaya Sarawak atau 'Sarawak Cultural Village' adalah antara tempat yang WAJIB dikunjungi kalau kita ke Sarawak. Rugi kalau tak pergi. Ia terletak dalam 45 minit perjalanan dari Bandaraya Kuching.

Bayaran masuk agak mahal sedikit. RM60 seorang bagi dewasa dan RM30 bagi kanak2 (7 tahun keatas). Bagi rakyat negeri Sarawak, dapat special price, RM25 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak2.

Apa yang paling menarik kalau ke sini ialah Persembahan Kebudayaan kaum2 di Sarawak. Ada 2 kali sehari iaitu pada jam 11 pagi dan 4 petang. Kena 'punctual' sebab persembahan mula tepat pada waktunya.




Tarian kebudayaan Sarawak yang memukau

Beberapa lagi tarian dipersembahkan kepada penonton yang memenuhi panggung

Persembahan yang paling gamat ialah aksi seorang pahlawan 'Orang Ulu' yang memaparkan kemahiran beliau menyumpit belon. Beliau akan memilih seorang penonton untuk sama2 ke atas pentas bagi menyumpit belon.


Persembahan diakhiri dengan tarian joget oleh penari2 yang akan 'mencari' pasangan masing2 daripada para penonton di dalam dewan. Biasanya pelancong asing dan kanak2 yang akan naik ke pentas. Anda tak perlu risau sekiranya tidak mahu naik ke atas pentas...


Lepas tengok persembahan tu, kita boleh mengelilingi Taman Budaya ni, dimana kita dapat lihat contoh binaan rumah2 kaum Bidayuh, Murut, Iban, Melayu, Melanau, Orang Ulu dan Cina. Boleh masuk ke dalam rumah2 ini dan dapat belajar mengenai sejarah dan kebudayaan setiap kaum tersebut.


Bergambar bersama seorang pakcik dari Kaum Bidayuh

Rumah mesyuarat Kaum Bidayuh

Ada juga tempat pemprosesan sagu dan masakan kuih tradisional. Baru kami dapat lihat pokok rumbia secara 'Live'. Sagu diperbuat dengan memproses batang pokok rumbia rupanya. "Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya!"

Pondok memproses sagu

Pokok Rumbia yang terdapat di depan tempat pemprosesan sagu.

Mengisar gandum di dalam rumah Kaum Cina Sarawak

Memang letih betul berjalan kat dalam Taman Budaya Sarawak. Berbaloi la saya bayar RM180. Dapat pengalaman dan ilmu baru. Anak2 pun belajar macam2 perkara baru.

Malamnya kami ke tempat makan yang agak terkenal di Kuching iaitu 'Top Spot'. Kebanyakan makan di sini ialah makanan seafood.

Top Spot Kuching. Hanya 5 minit berjalan kaki dari Hotel Riverside.

Kalau anda ke Kuching, anda perlu cuba sayur Midin masak belacan ni. First time saya rasa sayur Midin ni dalam hidup saya. Rupanya tak jauh bezanya dengan pucuk paku. Ada rakyat Sarawak yang makan nasi putih dengan sayur Midin masak belacan aje tau...


Sayur Midin masak belacan


Pusat Hidupan Liar Semenggoh

Kami memang berhajat nak ke sini. Nak bagi pengalaman kat anak2. Dapat tengok Orang Utan dari dekat, dalam habitat asal mereka. Kalau nak tengok kat zoo memang la boleh...

Ia terletak 22km dari Bandaraya Kuching. Nak masuk pun murah aje. RM5 bagi dewasa dan RM2 bagi kanak2. Kalau anak2 bawah 6 tahun percuma aje. So saya bayar RM14 untuk tiket masuk kami 5 sekeluarga.

Kebetulan masa kami ke sana, hujan pulak turun renyai2...adehhh.. tapi Pusat Semenggoh ni macam tau2 pulak. Rupanya diaorang ada jual baju hujan...



Ni baju hujan yang Pusat Hidupan Liar Semenggoh jual. RM3 ringgit aje satu. Jadi, Papa belikan satu sorang, satu utk Papa, satu utk Mama dan 3 untuk anak2 Papa... kena RM15 la untuk baju hujan.



Seronok pulak budak2 ni pakai baju hujan....takde beza dgn pakai plastik bag rupanya. Kalau untuk anak2, baju hujan ni nak kena trim sendiri, takde size untuk budak2. Nasib baik la Papa ada bawak gunting hehe

Sampai pun. Sebelum sampai ke tempat Orang Utan ni, nak kena parking jauh sikit, dalam 5 minit berjalan kaki. OrangUtan ni sensitif sikit kalau dengar bunyi bising...kalau bising nanti dia tak keluar.

Rehat jap sementara tunggu Orang Utan keluar untuk feeding time. Masa bagi makan Orang Utan ialah pada jam 9 pagi dan 3 petang. Jadi kalau nak datang, boleh datang dalam pukul 8 pagi atau 2 petang. Tak perlu tunggu lama2 sebelum dapat tengok Orang Utan.

Dah keluar dah...Seronoknya Mat Salleh ni nampak OrangUtan!

Pandai betul bergayut... eksyen...

Tepat jam 4:15 petang kami beransur pulang. Nak kena cepat2 ke Lapangan Terbang Kuching untuk check-in dan pulang ke Kuala Lumpur. Flight kami jam 7 malam, jadi pukul 5 dah nak kena ada kat airport.

Minum Nescafe Mocca kejap sementara tunggu boarding.

Pengalaman yang kami dapat memang amat berharga. Seronok bawak anak2 jalan. Dapat tengok keindahan alam, kehijauan pokok, serta betapa kayanya budaya etnik di Negeri Sarawak.

Kalau ada peluang, pasti kami akan datang lagi nanti...