Thursday, May 30, 2013

Berapakah Usia Ku yang Berbaki...

Assalamualaikum rakan2 sekalian,

Mari kita sama2 muhasabah diri. Hari ini, Khamis 30/05/2013, usiaku genap 37 tahun. Selamat Hari Lahir Mahyuddin!

37 adalah satu angka yang signifikan. Aku menginjak usia 40 tahun. RasululLah menerima wahyu pertama pada usia tersebut.

30 tahun yang lalu, aku berusia 7 tahun. Seorang anak kecil. Bersih, tanpa sekelumit dosa. Aku dimasukkan ke Sekolah Rendah Sultan Ismail Kemaman, Terengganu. Masih segar diingatan, hari pertama persekolahan Tahun 1. Kedua ibubapa saya menghantarku ke sekolah, saya nampak mereka mengintai di luar kelas, menunggu hingga ke waktu rehat. Pada waktu rehat, mereka bgtau saya mereka perlu balik untuk masuk kerja. Aku kecut... Aku tekad untuk pulang ke rumah. Tanpa memberitahu sesiapa aku berjalan kaki seorang diri. Aku menahan sebuah lori di tepi jalan. Mahu pulak lori tu berhenti dan tolong aku. Nasib baik aku tak di culik...

20 tahun yang lalu, aku berusia 17 tahun. Seorang remaja hensem (perasan sikit...). Aku bersekolah di Sekolah Menengah Chukai Kemaman ketika itu setelah bertukar keluar dari Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu. Peperiksaan SPM tahun 1993 aku tempuhi dengan jayanya, alhamdulilLah. 10 aggregat, cukup untuk melayakkan aku ke Program Matrikulasi.

30 tahun yang lalu, aku berusia 27 tahun. Aku bergelar seorang doktor...doktor lulusan luar negara, University of Otago, New Zealand, alhamdulilLah. Dan aku sudah pun berumahtangga dan isteriku sedang sarat mengandungkan kali kedua. Anak pertama kami meninggal dunia dalam kandungan ketika berusia 8 bulan. Ketika itu, aku bertugas di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan sebagai seorang pegawai perubatan di Jabatan Ortopedik.

Dan kini, aku berusia 37 tahun. Seorang Pakar Ortopedik, bapa kepada 3 orang anak yang sempurna, sihat dan cerdik, alhamdulilLah.

Masa begitu cepat berlalu.

Kita tidak tahu samada esok kita masih bernafas atau tidak. Malah kita tidak tahu 1 saat dari sekarang kita masih hidup atau tidak. Hakikat yang begitu menakutkan bagi kita yang tidak bersiap untuk akhirat...

Saya pernah bertanya kepada seorang rakan ketika mengerjakan Fardu Haji pada tahun 2012 yang lalu. Kami memanggil beliau dengan panggilan Haji Awang. Beliau berasal dari Kelantan dan berusia 81 tahun. Aku menggunakan kesempatan ketika kami sedang berehat di khemah kami di Mina selepas melakukan ibadah Melontar Jamrah.

"Haji, apa rasanya berumur 81 tahun?" Aku ingin sekali tahu kerana soalan itu selalu bermain di fikiranku.

Beliau hanya tersenyum. Manis. Kedut2 di wajah beliau yang putih jernih jelas kelihatan. Atuk beliau berbangsa Cina, berasal dari Tanah Besar China.

"Rasa biasa aje. Rasa kemahuan seperti masa muda2 dulu, masa berumur 30, 40 tahun. Cuma sekarang, badan rasa kurang kuat dan cepat letih. Itu aje". Senyuman tak pernah lekang dari bibir beliau yang merah.

"Haji, Haji rasa, tempoh masa dari Haji muda dulu, sampai sekarang ni, cepat ke, lambat?" Aku bertanya lagi soalan cepu emas.

"Cepat sangat doktor, cepat sangat. Tahu-tahu aje, anak2 kita dah besar, kahwin dan kita dapat cucu. Memang cepat" Kecut perut aku mendengarnya.

Sempat kah kita menginjak usia beliau. Hanya Allah yang tahu. 37 tahun, 47 tahun, 57 tahun, 67tahun?, 77 tahun?, 87 tahun? Berapakah umur ku? Berapakah umur di kala Izrail datang menjemput kita?

Sudah bersediakah kita?

Wednesday, May 29, 2013

Perlukah membuang besi atau implan setelah kepatahan sembuh?

Assalamualaikum rakan2,

"Doktor, besi ni nanti, bila patah dah baik, nak kena buang ke?"Ini adalah antara soalan yang paling biasa ditanya kpd saya oleh pesakit2.


Jawapannya 'YA' dan 'TIDAK'
Dalam majoriti kes2 di Malaysia ni, besi atau implan TIDAK perlu dibuang. Kajian menunjukkan ia adalah 'bio-compatible' iaitu sesuai dengan badan manusia dan tidak menimbulkan sebarang masalah kepada sistem badan kita.

Kami menasihatkan pesakit agar TIDAK mengeluarkan besi tersebut sekiranya tidak perlu. Proses mengeluarkan besi ini akan mendedahkan anda kembali kepada risiko2 pembedahan, pembiusan dan juga transfusi darah. Seboleh-bolehnya kita mahu mengelakkan risiko2 ini. Betul kan?


'YA' sekiranya:
1) Anda seorang kanak2
Besi perlu dibuang kerana tulang anda atau anak anda masih memanjang, dan tempat tulang tumbuh (growth plate) masih lagi belum tutup sepenuhnya.

Disamping itu, besi yang dipasang boleh diliputi oleh tulang baru yang tumbuh sehingga besi (implan) seolah-olah terkambus dan tidak lagi kelihatan. Ini akan menyukarkan proses pengeluaran implan itu sekiranya ia perlu dilakukan.

2) Terjadi jangkitan kuman pada tulang (Osteomyelitis)

Jangkitan kuman (bacteria) boleh berlaku dalam kes2 kepatahan, terutamannya kepatahan yang mempunyai luka yang berhubungan dengannya (Open fracture). Ia juga berlaku dalam kes2 dimana implan digunakan.

Bacteria membentuk satu lapisan pertahanan yg dikenali sebagai 'Biofilm' pada lapisan atas implan yang menyebabkan ia sukar dihapuskan, walaupun dengan menggunakan antibiotic. Antara cara yang paling berkesan ialah dengan mengeluarkan implan tersebut dan disertai dengan rawatan antibiotik.

Osteomyelitis lebih mudah berlaku sekiranya implan yang digunakan adalah dari jenis 'Stainless Steel" berbanding 'Titanium'.

3) Besi atau implan tersebut menyebabkan masalah kepada pesakit setelah kepatahan sembuh
Walaupun tulang yg patah telah bercantum, implan yang digunakan mungkin menyebabkan masalah kepada pesakit sekiranya ia terlalu prominen (timbul) atau menyebabkan rasa sakit atau mengganggu pergerakan sendi.

Namun, anda perlu dilihat oleh Pakar Ortopedik terlebih dahulu kerana dalam kebanyakkan kes, masalah2 ini bukannya disebabkan oleh implan tersebut, dan sekiranya implan itu dikeluarkan sekalipun, masalah anda masih kekal.



Moga bermanfaat buat semua yer :)






Wassalam...

Tuesday, May 21, 2013

Pusat Tahfiz Binjai, Kuala Lipis. Mari

Assalamualaikum sahabat2,

Saya nak berkongsi pengalaman saya semalam.

Saya berkesempatan melawat sebuah pusat tahfiz persendirian di Binjai, Kuala Lipis. Pusat tahfiz ini didirikan di atas sebuah tanah wakaf. Saya ke sana bersama2 dua lagi sahabat saya, Dr. Jamal dan Dr. Atiki.

Ketika kami tiba, suasana amat hening. Jam menunjukkan jam 1:50 petang. Kami sangkakan bangunan serba daif itu tidak berpenghuni pada mulanya. Apabila kami mendekati anjung luar bangunan tersebut, kelihatan kelibat 8 orang anak muda yang sedang duduk dalam 3 kumpulan kecil. Mereka semua berpakaian lusuh bewarna putih dan berkopiah.


Rupa-rupanya mereka sedang makan tengahari. Mereka makan di dalam dulang. Daripada cara mereka duduk aku tahu mereka mengikuti sunnah RasululLah SAW. Sebelah kaki di bawah punggung, manakala sebelah lagi dibengkokkan rapat ke dada. Mereka amat tertib ketika makan. Tiada gelak ketawa. Sesekali kedengaran mereka bersuara kepada sahabat di sebelah. Hati kecil ku tersentuh, amat berbeza dengan kebanyakan anak2 seusia mereka. Adab, tertib mereka begitu dijaga.


"Ustaz ada?" Dr. Jamal memulakan bicara.
"Ustaz takde, dia pergi Koyan", jawab seorang pelajar. Dia kelihatan paling tua di situ. Rupa2nya Ustaz Islahuddin yang mengajar mereka tiada. "Kami nanti mula kelas balik pukul 2:30 petang", tambah beliau.

"Adik umur berapa?" Aku bertanya sambil tersenyum.
"18". Ringkas aje jawapanya.

"Adik dah habis hafal Quran?" Aku ingin sekali mengetahui.
"Saya dah hafal 13 Juzuk, alhamdulilLah. Dah setahun setengah kat sini". Aku melemparkan senyuman kepada beliau. Rasa amat kagum dan bersyukur dengan keupayaan beliau, rasa cemburu pun ada. Seronoknya kalau dapat menghafal Quran seperti adik ni.

Kami cuba melihat ke dalam dulang mereka dari jauh. Ada nasi putih di tengah2 dulang mereka dan 3 ekor ikan goreng yang mereka makan bertiga sedulang. Ikan ini mereka kutil sedikit demi sedikit, lalu disuapkan ke mulut. Tiada kuah, tiada sayur. Tiada ayam atau daging. Tiada ulam, sambal belacan atau budu. Hati ku tiba2 terasa sebak. Terasa sedih mengenangkan juadah penghafaz2 cilik ini.


"Siapa yang paling muda?" Aku memandang ke arah seorang budak yang kelihatan lebih kecil.
Adik bersaiz kecil, berpakaian kain lusuh bewarna putih mengangkat kepada. "Saya pakcik. Saya baru 12 tahun", katanya sambil tersengeh.
"Adik dah hafal berapa juzuk?" Dr. Atiki mencelah.
"3", jawabnya ringkas.

Suasana hening seketika.

Kami lihat keadaan sekeliling. Bangunan batu setingkat itu dibina dengan amat ringkas. Sekadar cukup sebagai tempat berteduh. Terdapat sebuah pondok yang dijadikan dapur.



Permandangan Pusat Tahfiz ini daripada luar pagar. Pusat ini dibina di atas sebuah tanah wakaf. Bangunan depan ialah dapur manakala bangunan beratap hijau ialah tempat pelajar2 ini tinggal dan belajar/menghafal Al-Quran.


Papan tanda yang telah patah dan tercabut disandarkan ke dinding dapur.

Mengikut Dr. Jamal yang pernah bersemuka dengan Ustaz Islahuddin, mereka hanya bergantung kepada derma orang ramai. Tiada sumbangan tetap yang membiayai mereka. Mari kita lihat kelebihan membaca dan menghafal Al-Quran:


Abdullah bin Mas’ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab ALLAH TAALA maka untuknya diberi satu ‘hasanah’ (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (’Alif, lam, mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) adalah satu huruf, (lam) adalah satu huruf dan (mim) adalah satu huruf.”


Para Hafiz iaitu orang yang menghafal al-quran dan yang beramal dengan ilmunya boleh memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya. Disebut dalam hadith daripada Anas r.a. :
“Sesiapa yang membaca al-Quran dan menghafalnya, dia menghalalkan apa yang dihalalkan di dalam al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkan di dalam al-Quran, Allah akan memasukkan ke dalam syurga dan dia akan dapat memberi syafaat 10 orang ahli keluarganya yang semuanya adalah ahli neraka".

Saya merasakan orang ramai tidak tahu mengenai kewujudan Pusat Tahfiz ini. Ia perlu dibela dan dibantu. Kita mungkin tidak mampu nak mengajar mengaji dengan sempurna, atau melahirkan penghafal Al-Quran dengan diri kita sendiri, namun apa yang kita mampu lakukan ialah dengan memberi sumbangan kepada pusat2 tahfiz seperti ini.

Sumbangan secara konsisten setiap bulan, agar anak2 ini dapat makan makanan yang berzat, dapat tinggal berteduh di tempat yang selesa, dan dapat membesarkan lagi pusat tahfiz ini. Ia adalah umpama kita yang melahirkan penghafal-penghafal Al-Quran. Setiap alunan Al-Quran yang keluar dari mulut mereka merupakan sumber pahala kita, cahaya di kubur kita kelak.

Kita berebut-rebut mencari harta dunia namun amat kedekut dalam mencari bekalan bagi hari akhirat yang kekal abadi. Saya merayu dan menggesa sahabat2 menderma sebahagian pendapatan kita ke Akaun Tabung Haji Pusat Tahfiz Binjai ini. InsyaAllah kita akan diberi ganjaran berlipatkali ganda oleh Allah swt.

Tabung Haji: 110601000065941
Ustaz Islahuddin Ahmad

Sekiranya perlu maklumat lanjut boleh hantar message ke FB page Tinta Mahyuddin atau Komen di entry ini. InsyaAllah kita cuba aturkan. (Pusat Tahfiz ini tiada nombor telefon).

Wassalam.

PS Saudara-saudari boleh kongsi kan maklumat di entry saya ini. Saya izinkan. Please share!