Sunday, May 22, 2016

“Jari saya ‘jammed’ doktor!” - Trigger Finger


Pernahkah jari anda tiba-tiba menjadi ‘jammed’ atau tidak boleh diluruskan semula setelah anda membuat genggaman?

Anda mungkin mempunyai kondisi yang dikenali sebagai ‘Trigger Finger’. Ia seoalah-olah jari anda sedang bersedia memetik picu senapang atau pistol bukan? Biasanya pesakit boleh membengkokkan jari mereka ketika menggenggam tangan, namun apabila mereka membuka genggaman, jari yang bermasalah ini ‘jammed’ dan gagal diluruskan.

Sebab masalah ini terjadi masih belum diketahui sepenuhnya. Namun, kajian menunjukkan proses pembengkakan (inflammation) pada lapisan luar urat jari atau tendon (flexor tendon pulley) yang menyebabkan ia menebal dan seterusnya menyempitkan laluan tendon tersebut ketika pergerakkannya.

Masalah ini lebih kerap berlaku kepada pesakit wanita yang berusia antara 40 hingga 60 tahun. Pesakit kencing manis mempunyai risiko yang lebih tinggi bagi mendapat masalah ini. Saya juga melihat ia berlaku pada pesakit-pesakit yang pekerjaan mereka melibatkan penggunaan tangan yang kerap seperti menjahit dan menaip. Ia biasanya berlaku kepada tangan dominan mereka.

Pesakit biasanya datang dengan rasa sakit pada bahagian hujung tapak tangan (lihat gambar). Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, masalah ini akan berlarutan sehingga menyebabkan jari menjadi ‘lekat’ atau ‘jammed’. Pada peringkat awal, pesakit mungkin masih boleh meluruskan jari tersebut dengan menggunakan tangan beliau yang sebelah lagi, namun pada peringkat yang teruk, jari ini tidak akan dapat diluruskan langsung.

Rawatan bagi Trigger Finger bergantung kepada keadaan pesakit ketika mendapatkan rawatan. Sekiranya pesakit datang awal, ia boleh dirawat secara conservative, iaitu tanpa pembedahan, dengan fisioterapi dan ubat anti-radang. Suntikan steroid kadang-kala berguna bagi merawat pesakit yang gagal dirawat dengan fisioterapi.

Sekiranya jari pesakit telah pun ‘jammed’ dan tidak dapat diluruskan, maka pembedahan perlu dilakukan. Setelah ubat bius setempat diberikan, satu turusan kecil sepanjang 1sm akan dibuat pada tapak tangan pesakit bagi memotong Al pulley yang sempit. Dengan cara ini, tendon akan kembali bebas berfungsi.

Sekiranya anda mempunyai masalah ini, Sila dapatkan rawatan segera di hospital berhampiran.


Artikel ini telah di publish di website Malaysian Medical Gazette (http://www.mmgazette.com/jari-saya-jammed-doktor-dr-ahmad-mahyuddin/) pada 30 Oktober 2013 
  
Rujukan:

1.      Postgraduate Orthopaedics, Pau A. Banaszkiewicz. Cambridge University Press 2009, P335-6
3.      Treatment of trigger finger: randomized clinical trial comparing the methods of corticosteroid injection, percutaneous release and open surgery. Edson S. Sato1, João B. Gomes dos Santos1, João C. Belloti1, Walter M. Albertoni1and Flavio Faloppa1. Oxford Journals of Rheumatology, Volume 51, Issue 1, Pp. 93-99. http://rheumatology.oxfordjournals.org/content/51/1/93