Assalamualaikum,
Maka sebagaimana yang telah saya jangka, bayi kecil comel berusia 1 tahun yang saya ceritakan dalam cerita sebelum ini (dalam page facebook saya www.facebook.com/TintaMahyuddin) dimasukkan kembali ke wad saya malam tadi, syukur AlhamdulilLah.
Syukur saya kerana ibubapa bayi ini cepat bawa bayi ni bagi dapatkan rawatan. Syukur kerana kepatahan peha bayi ni masih tidak beralih (fracture displaced). Syukur kerana kaki bayi ini tidak pendek atau bengkok.
Bayi comel ini dibawa kembali oleh ibubapanya dengan peha yang berbalut buluh. Kulit putih gebu bayi ini sudah kemerah-merahan. Ada bahagian yang tercalar akibat geseran dengan buluh. Nasib baik belum bernanah.
Pada tahun lepas, saya pernah lihat satu kes lelaki dewasa tahun lepas yang datang selepas seminggu berubat kampung. Beliau patah tulang keting. Masa datang betis beliau berbalut daun yang dilayurkan dan diikat dengan buluh di kedua sisi betis. Beliau datang dengan penuh kesakitan, menjerit hingga keluar air mata. Demam yang sangat tinggi. Apabila kami buka buluh dan balutan daun, sudah ada ulat (maggot) yang meliuk-lentok di dalam luka pada betis pesakit. Nanah meleleh keluar. Kepatahan yang sepatutnya boleh disimen, terpaksa kami lakukan pembedahan bagi mencuci luka, membuang nanah dan memasang besi luar aerial (External Fixation) bagi menstabilkan kepatahan. Kuman telah pun masuk ke dalam peredaran darah pesakit ini akibat luka yang dijangkiti (Sepsis)
Bayi ini bernasib baik kerana ibubapa bayi ini sanggup datang kembali ke hospital. Ada ibubapa yang malu nak berhadapan kembali dengan doktor selepas berkeras mahu berubat kampung sebelumnya. Mereka berkeras mahu keluar pun kerana taat kepada kedua ibubapa mereka (dan mentua mereka). Dan seperti biasa, mak dan bapak, serta mertua mereka memang tak nampak batang hidung.
Dalam kes-kes sebegini, kalau jadi masalah, yang susah ialah bayi ini dan kedua ibubapanya, bukannya mak sedara, pak sedara, datuk, nenek atau jiran mereka.
Biasanya orang-orang inilah yang lebih sudu dari kuah, lebih doktor dari doktor, lebih pakar dari pakar. Kononnya nak menolong, tapi yang sebenarnya akan menimbulkan lebih masalah. Bila masalah sebenar benar-benar terjadi, dia orang ni akan kunci mulut, bayang pun tak nampak. Tinggal lah anda untuk selesaikan masalah anda sendiri.
Orang-orang ini menyusahkan kami merawat pesakit. Sikap dan kebiasaan kita yang suka mendengar semua sedara-mara juga menyukarkan kami. Ia menyukarkan keputusan dibuat kerana banyak pendapat, dan ia melambatkan keputusan boleh dibuat kerana menunggu abang long datang, tunggu mak long dapat cuti, tunggu nenek dapat flight atau tunggu datuk di kampung datang. Saya ada pesakit di wad sekarang yang sedang 'menunggu masa' akibat menunggu keputusan anak sulung yang belum sampai dari Johor.
Kesimpulan saya, kita sebagai ibubapa pesakit yang perlu ambil tanggungjawab membuat keputusan. Orang lain perlu hormat keputusan kita kerana apa pun yang terjadi, kita yang akan bertanggungjawab nanti. Kita perlu suarakan dan bincang dengan sedara-mara yang tidak sependapat dengan berhemah dan hormat. Saya yakin mereka boleh terima.
Terima kasih kerana membaca bebelan saya yer :)