Saturday, August 31, 2013

Tangan anda kebas? Anda mungkin menghidap Carpal Tunnel Syndrome



Sindrom 'Carpal Tunnel'
 
Pernahkah anda terbangun malam atau awal pagi sekitar jam 2 atau 3 pagi akibat rasa tidak selesa atau kebas pada bahagian tangan? Anda akan mengoyang-goyangkan tangan sehingga rasa kebas ini berkurangan? Atau anda merasa kebas di bahagian tangan iaitu pada ibu jari, jari telunjuk dan sebahagian daripada jari manis? Kalau jawapan anda ialah “ya”, anda mungkin mempunyai masalah Carpal Tunnel Syndrome.

Dalam kes-kes yang kronik, otot pada pangkal ibu jari akan mengecut (thenar muscle atrophy’) and kekuatan ibu jari juga akan merosot (abductor muscle weakness). Ini menyebabkan pesakit mungkin mengalami masalah untuk menggunakan tangan di mana sudu, garpu, senduk dan sebagainya jatuh semasa pesakit menggunakannya.

Carpal Tunnel Syndrome adalah satu keadaan dimana berlaku tekanan kepada saraf Median (‘Median Nerve’) di pergelangan tangan seseorang. Ia dua kali ganda lebih kerap berlaku kepada wanita berbanding lelaki dan dalam 80 peratus kes, pesakit berusia lebih daripada 40 tahun. 

Ia boleh disebabkan oleh tekanan daripada persekitaran luar tangan atau daripada dalam terowong pergelangan tangan (‘Carpal Tunnel’) itu sendiri. Antara keadaan yang dikaitkan dengan sindrom ini termasuk: 


  1. Kepatahan yang berlaku dipergelangan tangan. Ia termasuk kepatahan di tulang ‘Radius’ dan juga tulang-tulang kecil ‘Carpal bones’ yang membentuk terowong pergelangan tangan
  2. Semen atau plaster yang dipasang bagi merawat kepatahan juga boleh menyebabkan keadaan ini sekiranya ia terlalu ketat
  3. Sendi pergelangan tangan yang terseliuh juga boleh menyebabkan tekanan kepada saraf ini.   
  4. Sebarang ketumbuhan di dalam ‘carpal tunnel’ akan menyempitkan ruang di dalam terowong ini dan menekan saraf
  5. Pesakit yang mengandung
  6. Proses penuaan yang menyebabkan ‘Osteoarthritis’
  7. Masalah hormone pembesaran (‘Growth hormone’)
  8. Masalah penyakit metabolic seperti kencing manis dan gout
  9. Pelbagai penyakit dari kumpulan ‘Connective tissue disorders’ seperti Amyloidosis dan Haemochromatosis
  10. Idiopathic – tiada sebab yang diketahui


Rawatan
Rawatan bagi keadaan ini biasanya dimulakan dengan pemakaian ‘night splint’ iaitu sejenis orthosis daripada jenis thermoplastic bagi mengelakkan pengelangan tangan daripada terbengkok secara tidak sedar semasa pesakit tidur.

Sekiranya kita lihat, kebiasaannya pergelangan tangan seseorang akan berada dalam keadaan bengkok ke dalam semasa kita tidur, dan ini akan menyebabkan tekanan pada saraf bertambah serius. Cuba anda perhatikan tangan anak-anak atau pasangan anda malam nanti!

Pesakit juga akan dinasihatkan supaya menjalani rawatan fisioterapi bagi mengurangkan radang atau kebengkakan di kawasan terlibat.  

Pembedahan mungkin perlu dilakukan apabila splinting dan fisioterapi tidak berjaya atau terdapat ketumbuhan di dalam pergelangan tangan pesakit. Ia melibatkan prosedur dimana pesakit atau diberikan ubat bius, dan membuat luka pada bahagian pergelangan tangan pesakit bagi memotong ‘transver carpal ligament’ dan seterusnya membebaskan saraf ini.

Kini terdapat juga kaedah endoskopik dimana pembedahan dilakukan dengan menggunakan alat endoskopi dan kamera. Ia hanya melibatkan 2 atau 3 luka kecil bersaiz 1 cm bagi membebaskan saraf ini. Namun ia hanya dilakukan di pusat perubatan tertentu sahaja di Malaysia.

Harap dapat ‘LIKE’ dan ‘SHARE’ maklumat ini. Moga ia menjadi ilmu yang bermanfaat untuk dikongsikan. Terima kasih.

Tuesday, August 20, 2013

Tabiat Mencangkung Di Tandas - Risiko mendapat 'Toilet Bowl Injury'




Tahukah anda kenapa di kebanyakkan tandas awam selalu terdapat papan tanda yang menyuruh kita duduk dimangkuk tandas apabila membuang air dan bukannya bercangkung?

Pelbagai Cara Membuang Air di Tandas...

Anda tahu? Mungkin anda akan menjawab, “sebab mereka tidak mahu mangkuk tandas kotor dengan kesan selipar atau kasut pengguna”.... Betul kan?

Itu adalah logik disebalik arahan tersebut. Masalah kita ialah kebanyakan dari kita dilatih dari kecil untuk mencangkung dimangkuk tandas. Kita juga tidak mahu duduk dimangkuk tandas kerana kita merasa jijik  kerana mangkuk tandas dicemari air kencing dan kesan kasut pengguna yang mencangkung sebelum itu.

Amalan yang kita semua patut amalkan semasa menggunakan tandas ialah:


  • Membaca doa sebelum masuk ke dalam tandas
  • Melangkah masuk dengan kaki kiri

  •  Duduk ketika membuang air di tandas (dan bukannya mencangkung)

  • Bersihkan mangkuk tandas bagi pengguna seterusnya

  • Pastikan anda pam atau jirus tandas selepas menggunakannya
  • Membaca doa ketika keluar dari tandas
  • Keluar dengan didahului dengan kaki kanan


Kita patut mementingkan pengguna selepas kita. Kita pasti tidak suka sekiranya kita masuk ke dalam tandas dan mendapati terdapat najis yang tidak di pam atau air kecing pada mangkuk tandas bukan?

Namun, tahukah anda, terdapat kecederaan yang diberi nama khusus sebagai ‘Kecederaan Mangkuk Tandas’ atau ‘Toilet Bowl Injury’?

Ia adalah kecederaan yang agak kerap berlaku. Mencangkung diatas mangkuk tandas boleh menyebabkan mangkuk tandas yang dibuat daripada seramik ini pecah dan menyebabkan luka dibahagian belakang pergelangan kaki. Luka ini juga biasanya disertai dengan kecederaan pada Tendon Achilles (urat otot belakang kaki).

Tendon Achilles ini adalah antara tendon yang terkuat pada badan kita. Ia berfungsi bagi menggerakkan sendi buku lali terutamanya semasa proses berjalan iaitu tujahan pergelangan kaki ke belakang. Ia paling penting kepada atlit terutamanya atlit acara balapan iaitu berjalan kaki, larian pecut dan maraton.

Sekiranya putus, ia menyebabkan pergerakan pada pergelangan buku lali menjadi lemah dan terbatas. Terdapat juga risiko kecederaan pada saraf dan salur darah. Tendon Achilles ini perlu dijahit dan disambung semula sekiranya putus. Doktor Ortopedik akan menjahit dan membaikinya dengan menggunakan teknik khusus bagi tendon ini. Kaki pesakit perlu disemen selama 6 minggu bagi memastikan proses penyembuhan berlaku dengan sempurna.

Mari kita sama2 menggunakan tandas dengan cara yang betul.