Sunday, May 22, 2016

“Jari saya ‘jammed’ doktor!” - Trigger Finger


Pernahkah jari anda tiba-tiba menjadi ‘jammed’ atau tidak boleh diluruskan semula setelah anda membuat genggaman?

Anda mungkin mempunyai kondisi yang dikenali sebagai ‘Trigger Finger’. Ia seoalah-olah jari anda sedang bersedia memetik picu senapang atau pistol bukan? Biasanya pesakit boleh membengkokkan jari mereka ketika menggenggam tangan, namun apabila mereka membuka genggaman, jari yang bermasalah ini ‘jammed’ dan gagal diluruskan.

Sebab masalah ini terjadi masih belum diketahui sepenuhnya. Namun, kajian menunjukkan proses pembengkakan (inflammation) pada lapisan luar urat jari atau tendon (flexor tendon pulley) yang menyebabkan ia menebal dan seterusnya menyempitkan laluan tendon tersebut ketika pergerakkannya.

Masalah ini lebih kerap berlaku kepada pesakit wanita yang berusia antara 40 hingga 60 tahun. Pesakit kencing manis mempunyai risiko yang lebih tinggi bagi mendapat masalah ini. Saya juga melihat ia berlaku pada pesakit-pesakit yang pekerjaan mereka melibatkan penggunaan tangan yang kerap seperti menjahit dan menaip. Ia biasanya berlaku kepada tangan dominan mereka.

Pesakit biasanya datang dengan rasa sakit pada bahagian hujung tapak tangan (lihat gambar). Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, masalah ini akan berlarutan sehingga menyebabkan jari menjadi ‘lekat’ atau ‘jammed’. Pada peringkat awal, pesakit mungkin masih boleh meluruskan jari tersebut dengan menggunakan tangan beliau yang sebelah lagi, namun pada peringkat yang teruk, jari ini tidak akan dapat diluruskan langsung.

Rawatan bagi Trigger Finger bergantung kepada keadaan pesakit ketika mendapatkan rawatan. Sekiranya pesakit datang awal, ia boleh dirawat secara conservative, iaitu tanpa pembedahan, dengan fisioterapi dan ubat anti-radang. Suntikan steroid kadang-kala berguna bagi merawat pesakit yang gagal dirawat dengan fisioterapi.

Sekiranya jari pesakit telah pun ‘jammed’ dan tidak dapat diluruskan, maka pembedahan perlu dilakukan. Setelah ubat bius setempat diberikan, satu turusan kecil sepanjang 1sm akan dibuat pada tapak tangan pesakit bagi memotong Al pulley yang sempit. Dengan cara ini, tendon akan kembali bebas berfungsi.

Sekiranya anda mempunyai masalah ini, Sila dapatkan rawatan segera di hospital berhampiran.


Artikel ini telah di publish di website Malaysian Medical Gazette (http://www.mmgazette.com/jari-saya-jammed-doktor-dr-ahmad-mahyuddin/) pada 30 Oktober 2013 
  
Rujukan:

1.      Postgraduate Orthopaedics, Pau A. Banaszkiewicz. Cambridge University Press 2009, P335-6
3.      Treatment of trigger finger: randomized clinical trial comparing the methods of corticosteroid injection, percutaneous release and open surgery. Edson S. Sato1, João B. Gomes dos Santos1, João C. Belloti1, Walter M. Albertoni1and Flavio Faloppa1. Oxford Journals of Rheumatology, Volume 51, Issue 1, Pp. 93-99. http://rheumatology.oxfordjournals.org/content/51/1/93

Saturday, April 9, 2016

Osteoporosis: Tulang Umpama Cengkerang Telur

Anda pasti pernah menyediakan masakan telur sebagai hidangan pagi bukan? Apabila anda pecahkan telur, itulah keadaan tulang seseorang pesakit yang mengalami Osteoporosis. Tulangnya umpama cengkerang telur yang nipis dan isinya tiada. Secara mudahnya, Osteoporosis adalah keadaan dimana tulang kita menjadi rapuh.


Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organization (WHO), Osteoporosis ditakrifkan sebagai satu penyakit sistemik (melibatkan seluruh badan) yang mengalami jisim tulang yang merosot (low bone mass) dan kerosakan struktur mikro tulang yang menyebabkan  tulang rapuh dan meningkatkan risiko kepatahan berlaku.

Osteoporosis disebabkan oleh pelbagai faktor. Bagi memudahkan pembaca agar lebih faham, Osteoporosis boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu Primary Osteoporosis dan Secondary Osteoporosis.

Primary Osteoporosis
Primary Osteoporosis ialah keadaan dimana Osteoporosis berlaku tanpa disebabkan oleh ubat-ubatan atau masalah perubatan yang lain. Primary Osteoporosis ini pula terdiri dari 2 jenis iaitu:

Type 1 Osteoporosis (Osteoporosis 1)
Ini berlaku bagi wanita apabila mereka mengalami proses Menopos. Wanita yang mengalami Osteoporosis ini terdedah kepada kepatahan tulang belakang dan pergelangan tangan.

Type 2 Osteoporosis (Osteoporosis 2)
Jenis kedua Osteoporosis ini melibatkan proses penuaan dan dilihat berlaku bagi pesakit-pesakit berusia 75 tahun ke atas bagi kedua-dua jantina. Ia disebabkan oleh kurangnya penyerapan kalsium. Jika dibandingkan dengan Osteoporosis 1, majoriti pesakit-pesakit Osteoporosis 2 lebih terdedah kepada kepatahan tulang pinggul dan peha.

Antara perkara yang boleh meningkatkan risiko Primary Osteoporosis berlaku ialah:
1.      Genetik – Caucasian (berkulit putih), Asia, wanita, sejarah keluarga, kurus
2.      Hormon – Kekurangan hormon Oestrogen, Menopause (putus haid)
3.      Gaya hidup – Merokok, pengambilan alkohol dan kehidupan tidak aktif
4.      Diet – Kekurangan pengambilan kalsium atau vitamin D

Secondary Osteoporosis
Secondary Osteoporosis pula ialah apabila Osteoporosis terjadi akibat daripada pengambilan ubat-ubatan tertentu atau disebabkan oleh masalah kesihatan pesakit.
Sesetengah ubat boleh menyebabkan Osteoporosis berlaku apabila ia menghalang proses penyerapan kalsium atau mengganggu metabolism kalsium di dalam badan kita. Antara contoh ubat-ubatan ini ialah Thyroxine, Antacid, Lithium dan Warfarin.
Metabolisma kalsium juga boleh terganggu bagi pesakit-pesakit yang menghidap penyakit hati kronik (Chronic Liver Disease), penyakit buah pinggang kronik (Chronic Kidney Disease), masalah sistem endokrin dan usus.

Simptom
Pesakit yang mengalami Osteoporosis ramai yang datang kerana mengalami rasa sakit atau sengal-sengal tulang terutamanya bahagian belakang dan pinggang. Tidak kurang juga yang datang akibat kepatahan. Kepatahan yang kerap berlaku bagi pesakit Osteoporosis melibatkan tulang pengelangan tangan (wrist or distal radius fracture), tulang pinggul (intertrochanteric or neck of femur fracture) dan juga tulang belakang (vertebra fracture).
Setiap kepatahan ini mempunyai teknik rawatan yang berbeza bergantung kepada lokasi dan konfigurasi kepatahan tersebut. 

Bagaimana caranya bagi mengesan Osteoporosis?
Bagi mengetahui tahap kekuatan tulang seseorang atau Bone Mass Density (BMD), doktor biasanya akan melakukan ujian Dual Energy Xray Absorptiometry atau DEXA scan. Ujian ini menggunakan teknologi xray dan ia memberi nilai tertentu bagi tulang setiap pesakit yang diuji. Nilai ini diberi dalam bentuk T-score, iaitu ia membandingkan tulang pesakit dengan populasi muda yang dalam jantina dan bangsa yang sama. T-score antara -1 dan -2.5 menunjukkan kekuatan tulang yang merosot (keadaan yang dikenali sebagai Osteopenia) manakala Osteoporosis pula apabila nilai T-score adalah lebih rendah daripada -2.5.  

Pencegahan
Rawatan yang terbaik ialah pencegahan awal iaitu dengan cara memastikan BMD yang optimal (T score antara 0 ke -1). Ia boleh dicapai dengan memastikan pengambilan sumber kalsium yang mencukupi. Selain daripada itu, risiko Osteoporosis juga boleh diminimakan sekiranya kita berhenti merokok, tidak mengambil minuman beralkohol, mengamalkan pemakanan yang seimbang dan melakukan senaman secara berkala.

Merokok
Merokok telah dikenalpasti sebagai antara penyebab Osteoporosis berlaku apabila ia mengganggu fungsi hormon Estrogen yang berkait rapat dengan metabolisma kalsium. Perokok lebih terdedah bagi mendapat Osteoporosis.

Pengambilan minimum beralkohol
Meminum lebih dari 2 gelas minuman beralkohol sehari akan membuatkan anda lebih terdedah dengan Osteoporosis.

Senaman
Tulang kita adalah tisu yang amat dinamik. Ia memberi respon kepada tekanan dan beban yang dikenakan ke atasnya. Lebih banyak beban dan tekanan, ia akan menjadi semakin tebal dan kuat bagi menampung beban tersebut, dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, senamam secara berkala akan dapat membina kekuatan tulang anda. Jom bersenam!

Pemakanan
Pengambilan makanan yang mengandungi kandungan kalsium yang mencukupi setiap hari adalah amat penting bagi mengelakkan Osteoporosis daripada berlaku. Lelaki dan wanita dewasa berusia antara 18-50 tahun memerlukan 1000mg kalsium setiap hari. Ia meningkat kepada 1200 mg setiap hari bagi wanita berusia lebih 50 tahun dan lelaki yang melebihi usia 70 tahun.

Antara diet yang mengandungi kandungan kalsium yang tinggi ialah:

·         Makanan berasaskan tenusu
·         Sayuran hijau
·         Ikan salmon dan sardin (dengan tulang)
·         Kacang soya
·         Bijirin

Rawatan
Rawatan Osteoporosis boleh dibahagikan kepada rawatan ubat-ubatan dan pembedahan. Terdapat banyak jenis ubat-ubatan termasuk suplemen di farmasi dan hospital yang digunakan bagi rawatan Osteoporosis.

Majoriti ubat-ubatan dan suplimen ini bertujuan bagi mengurangkan proses pengikisan tulang (bone resoprtion) oleh sel Osteoclast. Namun ada juga ubat yang boleh mengaktifkan sel Osteoblast yang bertanggungjawab menghasilkan tulang baharu. Ia juga boleh mengurangkan risiko mendapatkan kepatahan tulang.

Penggunaan ubat-ubatan yang melibatkan Hormone Replacement Therapy (HRT) pula boleh melambatkan Osteoporosis namun ia boleh menimbulkan kembali symptom-simptom putus haid (menopause). HRT juga dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara dan kanser rahim.

Penggunaan ubat-ubatan ini bergantung kepada tahap Osteoporosis serta masalah-masalah kesihatan pesakit yang berkaitan. Jenis ubat yang boleh dimakan adalah berbeza antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain. Anda perlu berbicang dengan doktor yang merawat anda mengenai ubat-ubatan yang paling sesuai untuk anda.

Pembedahan
Pembedahan bagi pesakit Osteoporosis hanya dilakukan sekiranya kepatahan berlaku. Bagi kepatahan tulang belakang (vertebral fractures), prosedur seperti kyphoplasty dan vertebroplasy bagi mengembalikan bentuk serta integriti tulang yang patah boleh dilakukan.

Pesakit Osteoporosis juga sering mengalami kepatahan tulang pinggul, tulang peha dan pergelangan tangan walaupun hanya akibat trauma yang minima. Tulang yang patah ini, ada yang perlu dirawat secara pembedahan dan memerlukan penggunaan implant yang khusus bagi memastikan ia dapat memegang tulang yang rapuh.

Apa yang saya ingin tekankan disini, bukan semua kepatahan tulang yang melibatkan Osteoporosis memerlukan pembedahan. Doktor akan berbincang dengan anda mengenai pilihan yang terbaik jika anda atau saudara anda mengalaminya.

Nasihat
Nasihat saya, marilah kita sama-sama memastikan pengambilan diet yang mempunyai kandungan kalsium yang mencukupi setiap hari, elakkan rokok dan minuman beralkohol serta melakukan senaman secara berkala.

Jika kita menjejaki usia tua atau menjaga ibubapa warga emas, pastikan kita mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan risiko kecederaan atau kepatahan di kediaman kita. Antara langkah-langkah yang saya boleh cadangkan di sini termasuk menyediakan pemegang (railing) di bilik air dan di sisi tangga, memastikan tiada objek yang menghalang pergerakan di dalam rumah, meletakkan alas kaki di dalam bilik air agar tidak licin dan jika anda tinggal di kediaman 2 tingkat, pastikan ibubapa anda tidur di bilik bawah. Ini akan dapat mengurangkan kekerapan mereka naik turun tangga sekali gus mengurangkan risiko trauma dan kepatahan.

Rujukan
11. Postgraduate Orthopaedics, Paul A. Banasziewicz, page 520-521
22.  Review of Orthopaedics, Mark D. Miller, page 30-33

33.http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/osteoporosis/basics/prevention/con-20019924
   
Artikel ni telah disiarkan di website Malaysian Medical Gazette pada 15 Februari 2016 (www.mmgazette.com)

a

Saturday, January 23, 2016

Anterior Cruciate Ligament (ACL) Putus? Boleh ke Sembuh hanya dengan menyapu produk sahaja?

INI ADALAH POST YANG SAYA SHARE DI AKAUN DAN PAGE FACEBOOK SAYA SEMALAM BAGI MENJELASKAN APA YANG BERLAKU KEPADA LIGAMENT ANTERIOR CRUCIATE LIGAMENT (ACL) YANG PUTUS DAN PERKARA YANG BERKAITAN 
************************************************************************************************************************

•NO MORE ACL!
•NO MORE OPERATE!
•ACL? BUAT TAK TAU JER!
•JIMAT DUIT, JIMAT MASA & AKHIRNYA BOLEH MAIN BOLA SEMULA

Begitulah gahnya bunyi iklan produk di Facebook. Disertai dengan testimoni beberapa pengguna.
Pada mulanya saya tidak mahu komen apa-apa mengenai perkara ini walaupun diminta oleh beberapa rakan doktor kerana tidak mahu dituduh sebagai mengganggu periuk nasi atau bisnes orang, dan mungkin juga sebagai seorang yang berdengki dengan perniagaan orang lain.

Namun, apabila penyebaran maklumat yang salah mengenai ACL tear semakin berleluasa hingga ke tahap mengambil kesempatan di atas masalah kesihatan orang lain, saya rasa berdosa saya sebagai Doktor Pakar Ortopedik yang merawat pesakit ACL di hospital saya, jika saya tidak menyampaikan maklumat yang benar. Saya WAJIB memberi maklumat kepada masyarakat mengenai masalah ACL yang putus.

ACL adalah satu satu daripada ligamen yang menstabilkan lutut kita. ACL boleh putus ketika berlakunya pergerakan berpusing mengejut (sudden pivoting movement) pada kaki yang terpacak di tanah (implanted foot) semasa kita bermain. Ia amat kerap berlaku semasa permainan futsal, bolasepak, netball dan badminton. Paling tipikal ialah pergerakan mengejut ini disertai dengan bunyi "Pop", lutut terus membengkak dengan cepatnya dan pesakit tidak mampu meneruskan permainan.

Anatomi lutut manusia dan ligamen ACL yang putus (Gambar kecil)

Jika ACL kita putus, tulang betis (tibia) kita akan terasa longgar dan mudah bergerak ke arah hadapan ketika berjalan. Kita juga akan mengalami kesukaran untuk menuruni tangga.

Disebabkan anatomi lutut kita, ACL yang putus tidak akan mampu untuk sembuh dan bertaut kembali. Ini adalah kerana cecair pelincir lutut (synovial fluid) menghalang pembentukan hematoma (darah beku) yang merupakan keperluan utama dalam proses penyembuhan mana-mana tisu badan manusia. Bila hematoma tak boleh terbentuk, ACL yang putus tak mungkin boleh bersambung dengan sendirinya.

Kesakitan ini akan hilang dalam masa 1-2 minggu, bengkak pula akan hilang dalam 4-6 minggu apabila anda berehat dan tuam ais pada lutut anda. Tidak kiralah anda sapu minyak angin, minyak gamat, minyak Yu Yee, minyak cap kapak, ubat sapu hospital, senseh ATAU anda tak sapu apa-apa pun, bengkak dan sakit lutut ni tetap akan hilang dan anda tetap boleh bermain bolasepak kembali. Bengkak lutut surut bukan sebab pakai produk yang diiklankan ni.

Masalahnya, lutut yang putus ACL ni terasa tidak stabil dan longgar ketika berjalan, apatah lagi ketika bersukan. Lama-kelamaan, lutut yang longgar ini akan menyebabkan kerosakan pada pelapik sendi (meniskus) dan permukaan sendi (chondral) anda akibat geseran yang berterusan pada permukaan sendi lutut yang tidak sekata.

Jika anda pernah cedera dan lutut anda longgar, datang lah jumpa doktor di hospital bagi memastikan diagnosis. Tidak semua pesakit ACL tear perlukan pembedahan. ACL yang putus separa (kurang 50%) boleh dirawat dengan fisioterapi terutamanya bagi pesakit yang low sport demand, bekerja di pejabat dan hidup dengan sedentary lifestyle. Namun, bagi pesakit yang putus sepenuhnya ACL atau lebih 50% dan aktif bersukan, kami akan menyarankan pembedahan ACL Reconstruction bagi menstabilkan kembali sendi lutut, serta mengelakkan komplikasi kerosakan meniskus, permukaan sendi serta Osteoarthritis.

Apabila saya melihat kandungan ubat sapu tersebut, ia memang boleh melegakan kesakitan. Namun, jika ada ubat sapu yang mendakwa ia mampu menyembuhkan ACL yang putus, itu adalah satu dakwaan yang amat TIDAK bertanggungjawab. Pada saya, ia lebih kepada bisnes untuk menjual produk ini. Kalau betul pun nak jual produk, tolong nyatakan yang benar sahaja dan janganlah mengambil kesempatan atas masalah kesihatan orang lain.

Jika benar ACL boleh bersambung kembali dan lutut anda kembali stabil seperti sebelum sebelum kecederaan, harap dapat datang jumpa saya kerana saya pun ingin rujuk ramai pesakit kepada anda. Tak perlu lah saya buat pembedahan lagi. Saya pun nak daftar jadi ejen jual produk ni!!

Dr Mahyudin Mohamed
Pakar Ortopedik HOSHAS Temerloh
22/01/2016

‪#‎Please‬ Feel Free to SHARE and spread the info. TQ